PAKATAN Harapan berharap untuk membaik pulih ekonomi dan mengukuhkan dasar tadbir urus yang baik supaya negara dapat bangkit kembali sebagai kuasa besar serantau, kata Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11.
Dari memperbaik tadbir urus dan memperkuat institusi utama, bagi mempromosi pembangunan yang lebih inklusif dan seimbang, Dr Mahathir berkata pelan ekonomi itu juga digubal bagi mengembalikan rasa bangga dan bermaruah kepada rakyat Malaysia.
“Sekiranya semua perkara yang terkandung di dalam dokumen ini direalisasikan, saya yakin Malaysia akan kembali mengaum sebagai Harimau Asia.
“Imej Malaysia akan berubah daripada negara kleptokratik menjadi sebuah negara demokrasi dengan kerajaan yang bersih, adil dan berintegriti.
“Rakyat Malaysia di mana-mana sudut dunia akan dapat memperkenalkan diri dengan bangga sebagai ‘Saya rakyat Malaysia’,” katanya.
Dr Mahathir, berkata laporan kajian itu adalah demi generasi akan datang.
“Ramai daripada generasi saya sudah tidak ada. Kepada siapa yang kita boleh wariskan negara ini kalau tidak kepada generasi muda?
“Saya seru rakyat Malaysia yang lebih muda untuk mempelajari semua pengetahuan yang anda mampu untuk menjadikan Malaysia hebat sekali lagi.
“Dapatkan semua kemahiran yang diperlukan dan menguatkan diri. Berpegang teguh pada agama dan nilai-nilai anda dan menolak rasuah sepenuh hati. Tegakkan kebenaran dan keadilan dan marilah kita bekerjasama untuk masa depan yang lebih cerah, “katanya.– 18 Oktober, 2018.
Komen