AHMAD Zahid Hamidi tidak akan terkesan dengan tindakan pihak berkuasa ke atasnya kerana beliau sudah biasa ditahan dalam lokap, kata Hamidah Khamis, isteri kepada presiden Umno itu.
Hamidah turut menegaskan beliau sendiri tidak apa-apa walaupun suaminya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dan akan dihadapkan ke mahkamah esok.
Beliau merujuk kepada penahanan Zahid di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 1998.
“Dia ditahan selama 10 hari di bawah ISA semasa jadi Ketua Pemuda Umno. Dia akan okay, saya pun okay,” katanya kepada media di perkarangan ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Hamidah datang bersama anak perempuannya, Nurulhidayah selepas Zahid Hamidi hadir di SPRM pukul 3 petang tadi, dan ditahan 15 minit kemudian.
Dua dekad lalu, Zahid yang ketika itu ketua pemuda Umno ditahan di bawah ISA selepas Anwar Ibrahim yang dipecat dari kerajaan dan parti ditahan polis.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam menyeru rakyat Malaysia supaya datang ke ibu pejabat SPRM malam ini untuk menunjukkan solidariti kepada Zahid.
“Mereka (kerajaan) menahan Ahmad Zahid kerana beliau adalah Presiden Umno. Kini Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen, dan Anwar tidak mahu terima Zahid sebagai Ketua Pembangkang,” katanya kepada media.
SPRM sebelum ini mengesahkan Zahid akan dihadapkan ke mahkamah esok atas beberapa tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.
Zahid hadir ke ibu pejabat agensi anti rasuah itu petang tadi untuk diambil keterangan buat kali keenam, selepas pertama kali disiasat pada Julai lalu.
Beliau sebelum ini mempertahankan bahawa dana Yayasan Akal Budi tidak pernah diseleweng, sebaliknya siasatan pihak berkuasa ini timbul kerana ada salah faham akibat kesilapan pegawainya semasa membuat pembayaran kad kredit milik beliau dan isteri.
Katanya, masalah yang berbangkit daripada dana yayasan itu hanyalah kekeliruan.
Komen