Zahid enggan mohon ikat jamin


Christopher Rabin Ravin Palanisamy

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tersenyum kepada media ketika tiba di ibu pejabat SPRM, Putrajaya petang tadi untuk sambung soal siasat, sebelum ditahan kemudiannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 Oktober, 2018.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi enggan memohon ikat jamin selepas ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Nor Adam.

Lokman dimaklumkan oleh peguam Zahid bahawa mereka membuat permohonan kepada SPRM tetapi sebelum terima jawapannya, bekas timbalan perdana menteri itu memberitahu supaya tidak meneruskan permohonan itu.

“Zahid mahu mengikut prosedur dan menolak tawaran untuk diikat jamin,” kata Lokman.

“Peguamnya memberitahu menerusi aplikasi Telegram bahawa mereka mohon Zahid dilepaskan dengan ikat jamin, memberi jaminan kepada SPRM yang beliau akan hadir di mahkamah esok.

“Namun, Zahid beritahu peguamnya jangan buat permohonan itu kerana beliau akan mengikut prosedur standard dan terus berada di dalam lokap.”

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu akan didakwa di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.

Beliau disiasat berhubung yayasan amal yang dikendalikan keluarganya, Yayasan Akal Budi, di mana beliau adalah pengerusinya.

Dilaporkan beliau disiasat atas dakwaan RM800,000 diselewengkan dari yayasan itu untuk digunakan membayar bil kad kreditnya dan isteri.

Sekumpulan kira-kira 40 penyokong berkumpul di luar bangunan SPRM petang tadi untuk menunjukkan solidariti kepada presiden Umno itu.

Isterinya, Hamidah Khamis dan anak perempuannya Nurulhidayah, dijangka menyertai perhimpunan solidariti untuknya. – 18 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen