LEBIH ramai penduduk asal Sabah mahu parti tempatan untuk memerintah negeri itu kerana ramai pemimpin mereka memegang jawatan tinggi dalam politik, ekonomi dan pendidikan, kata ahli sains politik Universiti Malaysia Sarawak, Dr Arnold Puyok.
Katanya, ada desakan kuat daripada penduduk beretnik Kadazandusun Murut (KDM) supaya pemerintahan negeri kembali kepada parti tunggal tempatan, seperti mana Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah menerajui negeri itu sebelum ini tanpa pengaruh Barisan Nasional.
Katanya, KDM tidak mahu negeri dan pemimpin negeri dipengaruhi rakan sejawat politik mereka dari Semenanjung apabila menangani isu utama seperti kemiskinan, pendidikan dan peluang pekerjaan.
“Ramai merasakan mereka ketinggalan berbanding pembangunan utama di Sabah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Tetapi, di sinilah pemimpin KDM perlu muncul. Ramai menteri KDM dalam Kabinet negeri dan persekutuan, yang mempunyai kedudukan lebih baik untuk memberikan peluang kepada komuniti KDM untuk terlibat sama.
“Mereka perlu membuka lebih jalan kepada KDM untuk menyumbang dalam tadbir urus negeri dan ekonomi.”
Baru-baru ini parti pembangkang negeri itu yang baru dibentuk menggunakan slogan lama PBS “Sabah untuk orang Sabah” dan menggunakan isu hak negeri untuk menarik minat politik penduduk.
Gabungan parti pembangkang negeri itu termasuklah Parti Warisan Sabah diketuai bekas pemimpin Umno Mohd Shafie Apdal, yang menggesa pemerintahan negeri dikembalikan kepada sistem parti tunggal seperti zaman PBS, yang memerintah negeri itu pada 1985 hingga 1994.
PBS menyertai BN selepas menang pilihan raya negeri pada Mei 1986 susulan rusuhan yang berlaku di beberapa lokasi di Sabah.
Tetapi ketika menghampiri pilihan raya negeri pada Julai 1990, PBS menarik diri daripada BN dan memenangi pilihan raya buat kali ketiga. Parti itu juga menang pilihan raya negeri 1994 dengan marjin tipis.

Bagaimanapun, beberapa kejadian berpaling tadah berlaku, apabila wakil rakyat PBS melompat parti masuk ke dalam BN sebelum parti itu mampu membentuk kerajaan negeri baru.
Pada 2002, PBS kembali menyertai BN, tetapi sejak itu, komuniti KDM merasakan yang parti itu yang pernah dipimpin Pairin Kitigan dan kini dipimpin Maximus Ongkili sudah menjadi “harimau tanpa taring”.
Puyok mengatakan ramai individu dalam komuniti KDM berbakat dan berpendidikan tinggi, seperti bekas Setiausaha Negeri Simon Sipaun dan Pengerusi Bersih Negeri Jannie Lasimbong, kedua-duanya aktivis hak asasi dan hak orang asal yang diketahui masih tidak memihak mana-mana parti.
Sabah juga mempunyai Bernard Dompok, seorang pemimpin BN yang satu ketika dahulu lantang mempertahankan hak penganut Kristian di Malaysia.
Tetapi, kata Puyok lagi, persepsi awam merasakan ada pemimpin ini tidak mampu meneruskan perjuangan, seperti Dompok yang banyak berdiam diri selepas tewas di Penampang kepada Darrel Leiking (PKR) pada pilihan raya umum 2013.
Seorang bekas pengarang akhbar di Sabah, Fiona Siambun, berkata walaupun BN sudah tidak mempunyai pengaruh dalam KDM, majoriti orang asal masih berbelah bahagi mengenai memberikan sokongan kepada parti pembangkang.
“Mereka tidak gembira dengan situasi ekonomi, sosial dan politik di Sabah, di mana hanya sebilangan kecil individu menerima manfaat daripada projek dan menikmati kelebihan tertentu,” katanya merujuk kepada amalan politik naungan yang diamalkan dalam gabungan parti pemerintah.
Tanggapan yang tersebar dalam komuniti KDM adalah pengagihan projek utama kerajaan banyak dikawal mereka daripada Umno Sabah, sementara projek kecil akan dibahagikan dalam kalangan parti komponen lain seperti Upko dan PBS.
Penduduk Sabah terdiri daripada 12% jumlah keseluruhan penduduk Malaysia berjumlah 31 juta orang, negeri kedua teramai selepas Selangor, dan satu pertiga atau 600,000 penduduk negeri adalah berketurunan etnik KDM.
Statistik daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2004 menunjukkan yang kadar kemiskinan tertinggi dicatatkan di daerah di mana kumpulan etnik utama ialah KDM, seperti Kudat (41%), Pitas (46%), Kota Marudu (37.1%), Ranau (38.2%), Tambunan (44.4%), Keningau (30.1%), Tenom (31.6%) dan Nabawan (70.8%).
KDM juga membentuk kumpulan terbesar dalam kalangan penduduk kawasan bandar dan pinggir bandar seperti Penampang (6.7%), Tuaran (20.5%) dan Papar (14.7%).
Siambun berkata walaupun isu yang didepani komuniti diketahui umum, pemimpin KDM nampaknya tidak bersepakat.
Dan walaupun hakisan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 merupakan topic yang kerap dibangkitkan ahli politik pembangkang, ia masih tidak menarik perhatian politik penduduk di kawasan timur negeri itu, yang memiliki jumlah besar etnik Bajau dan Suluk.
Tambahan pula, kata Siambun, negeri itu juga mengalami jurang generasi, apabila golongan berusia dan belia komuniti KDM mempunyai keutamaan berbeza.
Katanya, golongan belia lebih risaukan soal ekonomi, pekerjaan dan pendidikan dibandingkan dengan ibu bapa mereka yang meletakkan isu lanun dan penculikan militant selatan Filipina sebagai isu utama.
Katanya, parti politik perlu terlibat dengan generasi muda untuk membantu mereka memahami bagaimana masa depan mereka akan terkesan dengan isu sebegitu.
Puyok berkata KDM perlu berhenti menyalahkan satu sama lain kerana masalah komuniti yang wujud, dan melengkapkan diri mereka untuk bersaing dan terlibat dalam ekonomi. – 11 Ogos, 2017.
Komen