SEORANG exco Pulau Pinang ditemu bual Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dipercayai berkaitan dengan kilang pemprosesan penapis karbon haram di sebuah ladang kelapa sawit.
SPRM dan agensi penguatkuasa persekutuan menyerbu kilang itu yang sudah beroperasi lebih daripada 10 hari di Sungai Lembu, Bukit Mertajam semalam.
Wujud aduan daripada penduduk setempat yang mengatakan kilang itu menyebabkan pencemaran dan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan sewajarnya.
Lima pegawai SPRM menembual Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh di Komtar selama hampir sejam.
Mereka hanya mengesahkan exco mana yang ditemubual dan berkata ibu pejabat SPRM akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu.
Phee tidak ditahan. Juga tidak jelas sama ada dokumen dirampas daripada pejabatnya.
Ketika temubual itu dilakukan, seorang kakitangannya kelihatan keluar masuk bilik pejabat untuk membuat salinan dokumen tertentu.
Exco itu sebaik sahaja melangkah keluar untuk makan tengahari pada jam 1.10 petang enggan memberikan komen ketika ditanya wartawan mengenai temubual itu.
Serbuan semalam melibatkan 50 pegawai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen.
Sembilan rakyat Myanmar termasuk seorang wanita yang bekerja di kilang itu ditahan. Penyelia kilang berusia 70 tahun turut ditahan untuk soal siasat.
Dilaporkan yang pegawai SPRM dan LHDN merampas dokumen dari pejabat kilang itu dan pejabat Majlis Perbandaran Seberang Prai di Bandar Perda. – 11 Ogos, 2017.
Komen