MENTERI Kewangan Lim Guan Eng berkata aliran keluar pelaburan asing dari pasaran tempatan dengan anggaran RM1.05 bilion setakat 13 Oktober masih dianggap rendah dalam rantau ini.
Katanya, negara Asean lain mencatatkan aliran keluar yang lebih tinggi susulan penjualan saham oleh pelabur asing.
Berbanding dengan Malaysia yang merekodkan penjualan pelaburan asing sebanyak RM1.05 bilion (AS$253 juta), Thailand mencatatkan aliran keluar sebanyak AS$701.7 juta (RM2.916 bilion), Indonesia (RM1.1 bilion) dan Filipina (RM217 juta).
Lim yang merupakan Ahli Parlimen Bagan berkata faktor utama penjualan RM1.05 bilion saham di Bursa Malaysia baru-baru ini adalah akibat faktor luar seperti pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS), ketegangan dagangan AS-China, serta ketidaktentuan hala tuju pasaran Eropah.
“Pasaran minyak dunia juga terjejas susulan konflik AS dan Arab Saudi berhubung pembunuhan Jamal Khashoggi,” katanya merujuk kepada wartawan Saudi yang hilang sejak dua minggu lalu selepas memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul.
Beliau yang menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) sewaktu sesi Dewan Rakyat hari ini, berkata aliran keluar pelaburan asing dari pasaran tempatan pada 10 Mei hingga 13 Oktober berjumlah RM3.03 bilion.
Katanya, negara lain seperti Thailand mencatatkan aliran keluar sebanyak RM4.6 bilion, Indonesia (RM1.4 bilion) dan Filipina (RM850 juta) bagi tempoh yang sama.
“Pasaran saham di rantau ini tidak menentu sejak 1 Januari apabila menunjukkan Malaysia mengalami penurunan sebanyak 3%, Singapura (9.75%), The Philippines (17%), Thailand (3.35%) and Indonesia (7.6%).
“Putrajaya akan meneliti masalah kewangan dan fiskal daripada kerajaan terdahulu untuk mengukuhkan daya saing negara, dan keuntungan serta produktiviti,” katanya. – 18 Oktober, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen