Bung Moktar minta maaf keluar kata-kata kesat


Looi Sue-Chern

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin membuat permohonan maaf kepada Dewan Rakyat hari ini atas kelakuan beliau pada Ogos lalu. – Gambar Twitter, 18 Oktober, 2018.

AHLI Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin hari ini memohon maaf kepada Dewan Rakyat kerana mengeluarkan kata-kata kesat pada sesi Parlimen Ogos lalu.

Beliau mengakui kelakuannya itu tidak mencerminkan sikap sebagai seorang ahli Parlimen dan melanggar peraturan Dewan Rakyat.

“Saya menyesal atas perbuatan itu dan memohon maaf kepada Speaker dan ahli Dewan Rakyat yang lain terutamanya ahli Parlimen wanita,” katanya kepada Parlimen hari ini.

“Saya berjanji perkara ini tidak akan berlaku lagi. Saya berharap permohonan maaf saya ini dapat diterima dengan baik.”

Bung mengeluarkan kata-kata kesat itu kepada Ahli Parlimen Puncak Borneo dari Pakatan Harapan, Willie Mongie ketika berbahas rang undang-undang Cukai Jualan dan Perkhidmatan 2018.

“Ini biadab, ini kurang ajar. Tarik balik, ini biadab Yang Dipertua. Yang Berhormat tidak layak duduk sini, samseng. What do you want? You nak gaduh dengan saya ini time, f** you. F** you. Kau salah orang,” katanya.

Beberapa penyokong kerajaan seterusnya meminta Bung Moktar keluar dari sidang kerana mengeluarkan kata-kata kesat tersebut.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd. Rashid Hasnon seterusnya mengingatkan para wakil rakyat supaya tidak menyentuh perkara yang bersifat peribadi.

Beberapa hari kemudian, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengemukakan usul agar Bung dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas perbuatannya yang dianggap menghina majlis.

Permohonan maaf Bung hari ini diterima oleh Zuraida yang menarik semula usul tersebut.

Zuraida berkata beliau berharap ahli Parlimen pembangkang itu boleh mengawal emosi pada masa akan datang.

“Saya percaya semua ahli Parlimen mahu Dewan Rakyat menjadi bertaraf dunia. Kita perlu mempunyai perbahasan yang berkualiti dan tidak membuang masa dengan isu kecil.

“Kerajaan baharu amat terbuka dan bertoleransi tinggi. Kita perlu membuang tabiat lama dan memegang teguh maruah Dewan Rakyat ini,” katanya. – 18 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen