Ahli Parlimen bantah notis larang merokok


Looi Sue-Chern

Notis tidak boleh dikeluarkan tanpa arahan speaker kerana menteri tidak ada kuasa di Parlimen, hujah mereka. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2018.

AHLI Parlimen penyokong kerajaan hari ini membantah notis larangan merokok di Parlimen yang ditandatangani Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad kepada speaker Dewan Rakyat.

Johari Abdul (Sungai Petani-PH) berkata individu yang bertanggungjawab atas urusan Parlimen adalah speaker dan bukannya mana-mana menteri.

“Ini Dewan Yang DiPertua. Menteri sepatutnya berbincang dengan Speaker yang kemudiannya akan memaklumkan kepada ahli Dewan.

“Saya tak merokok tapi kita perlu adil kepada semua ahli Parlimen. Yang Di Pertua ketua di sini, bukannya menteri. Dia tidak ada kuasa meletakkan notis di Parlimen,” kata ahli Parlimen daripada PKR itu kepada Speaker Mohamad Ariff Md Yusof hari ini.

Sejak Isnin lalu, Parlimen menjadi zon bebas merokok sepenuhnya berkuat kuasa serta merta. Vape dan rokok elektronik juga tertakluk kepada larangan itu.

Pada hari pertama peraturan itu dikuatkuasakan, lapan orang termasuk seorang ahli Parlimen didenda RM500 di bawah Peraturan Kawalan Produk Tembakau 2014. Kegagalan menjelaskan denda boleh menyebabkan denda sehingga RM10,000 atau dua bulan penjara atau kedua-duanya.

Bantahan itu disokong oleh Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan-BN) yang berkata tidak sewajarnya pegawai penguatkuasa mencari kesalahan dilakukan ahli Parlimen. Ia hanya boleh dilakukan speaker.

“Mereka perlu menghormati speaker,” katanya.

Ariff berkata beliau akan meneliti isu tersebut dan mengeluarkan garis panduan sewajarnya.

“Kami akan menyelesaikan isu ini secara baik secepat mungkin,” katanya. – 18 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen