Kenaikan harga lebih buruk jika GST masih ada, kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

Saya tak nafikan ada peningkatan harga tetapi ada juga yang turun seperti kereta dan kesannya tak seteruk GST, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2018.

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng hari ini mengakui yang ada barangan dan perkhidmatan yang naik harga disebabkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tetapi berhujah yang kenaikan harga tersebut lebih buruk jika Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) masih wujud.

Menjawab soalan berkaitan SST di Dewan Rakyat pagi tadi, beliau berkata situasi peningkatan harga akan jauh lebih buruk sekiranya kerajaan semasa mengekalkan GST.

“Saya tak nafi ada peningkatan harga. Tapi jadi adillah. Ada juga pengurangan harga seperti kereta.

“Jika kita masih ada GST, kita boleh jangka harga tak akan turun, tetapi naik pada kadar lebih tinggi berbanding yang kita lihat bawah SST,” katanya menjawab soalan Annuar Musa (Ketereh-BN) ketika sesi soal jawab.

“Tambahan pula dengan keadaan pasaran global sekarang, situasi akan lebih buruk dengan GST. SST mudah kepada rakyat; dan inilah yang kerajaan Pakatan Harapan mahukan untuk rakyat, tak seperti pentadbiran terdahulu yang mempopularkan GST.”

Annuar juga meminta Lim untuk menjelaskan mengapa SST, yang pertama kali dilaksanakan pada tahun 70-an masih mengelirukan dan membebankan rakyat.

Lim menjawab yang SST dikenakan terhadap jumlah barang kurang berbanding GST- hanya 6,405 berbanding sebelum ini 11,197.

Terdapat juga 5,443 barangan dikecualikan daripada SST, 10 kali ganda lebih banyak berbanding 545 barangan dikecualikan GST.

Katanya, kerajaan juga hanya akan mengutip RM21 bilion untuk SST daripada rakyat berbanding RM44 bilion menerusi GST, seterusnya memberikan lebih banyak wang kepada isi rumah untuk dibelanjakan.

Lim berkata beliay tidak mahu mewujudkan kekeliruan dengan mendakwa SST akan mengurangkan harga barangan.

Katanya lagi, sekalipun harga meningkat kerana SST, kesannya lebih kecil berbanding kesan pelaksanaan GST. – 18 Oktober, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen