Malaysia bayar RM1.7 bilion faedah hutang 1MDB tahun ini, kata Guan Eng


Mohd Farhan Darwis Asila Jalil

Jumlah itu termasuklah bayaran faedah untuk bon 1MDB Energy Langat Limited berjumlah AS$50.3 juta (RM208.8 juta) yang dibayar hari ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Oktober, 2018.

MALAYSIA membayar RM1.688 bilion sebagai faedah hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tahun ini sahaja, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata, jumlah itu termasuklah bayaran faedah untuk bon 1MDB Energy Langat Limited berjumlah AS$50.3 juta (RM208.8 juta) yang dibayar hari ini.

Pembayaran lain yang dijadualkan ialah pada 11 November ini iaitu faedah bagi bon 1MDB Energy Limited bernilai US$ 52.413 juta (RM217.51 juta) dan sukuk Islamic Medium-term note bernilai RM143.75 juta yang dijadualkan pada 29 November ini.

“Kita akan terus buat pembayaran seperti mana yang dikontrakkan oleh kerajaan lama.

“Saya selalu tegaskan Malaysia akan mengotai komitmen obligasi yang kita buat di peringkat antarabangsa, kita akan bayar,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Lim berkata daripada pembayaran tersebut, tiada satu pun yang memberikan manfaat kepada rakyat.

“Soalan akan ditanya apa yang kita dapat, kita lihat seluruh skandal 1MDB berjumlah RM50 bilion.

“Kita dapat hanya dikenali di seluruh dunia sebagai jaguh kleptokrasi. Itu skandal yang mencederakan Malaysia, bukan saja daripada segi kewangan tetapi imej dan reputasi,” katanya.

Bagaimanapun katanya kerajaan PH tetap mengambil langkah fiskal membayar komitmen tersebut bagi mengelakkan penarafan Malaysia di peringkat antarabangsa terjejas.

“Kerajaan akan terus ambil langkah fiskal tangani masalah ini, kita akan terus memenuhi komitmen supaya Malaysia tidak berada dalam status ‘default’ kerana kesannya akan menjejaskan penarafan antarabangsa,” kata ahli Parlimen Bagan itu. – 18 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen