Kedudukan Zahid dalam Umno tidak terjejas jika didakwa, kata Annuar Musa


Yasmin Ramlan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dijangka didakwa di mahkamah pada Jumaat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2018.

KEDUDUKAN Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno tidak terjejas walaupun didakwa di mahkamah kerana kesalahan yang dijangka dituduh ke atasnya suatu jenayah yang boleh dijamin, kata Setiausaha Agung parti Annuar Musa.

Menurut Annuar, kedudukan Zahid sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat juga tidak berbangkit pada masa ini.

“Saya rasa itu terlalu awal. Masih terlalu awal kerana pertama, dia belum lagi didakwa. Yang kedua, kalau dia didakwa dan dia dijangkakan bersifat ‘bailable offence’ (kesalahan boleh dijamin), jadi kedudukan dia tak terjejas. 

“Ya, masih presiden Umno,” katanya apabila ditanya kedudukan Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, sebagai ketua pembangkang dan presiden parti itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dilaporkan berkata, Zahid telah diberi notis supaya hadir di ibu pejabat SPRM pada hari ini.

Menurut Lokman, presiden Umno itu dijangka didakwa esok.

“Notis tu notis biasa untuk hadir berkaitan dengan penyiasatan. Sama ada tahan atau tidak itu masih spekulasi,” kata Annuar.

Bekas timbalan perdana menteri itu dipanggil ke ibu pejabat SPRM untuk tiga hari berturut-turut minggu lepas yang dipercayai atas kesalahan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi yang dipengerusikannya.  – 18 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen