DASAR perkauman dan pengukuhan kawalan terhadap universiti merupakan antara halangan yang perlu dihadapi oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam melaksanakan pembaharuan di sektor pengajian tinggi, kata ahli akademik.
Selepas pelantikannya, Maszlee memberi jaminan bahawa pihak universiti tidak lagi akan disalahguna untuk kepentingan politik oleh mana-mana pihak termasuk dirinya.
Beliau sebelum ini berkata, “Kita tidak akan mengawal atau menguasai mereka (universiti) atau memaksa mereka (melakukan sesuatu). Kita benar-benar mahu universiti menikmati kebebasan autonomi dan akademi dalam pengurusan mereka.”
Selepas lima bulan, apakah situasi institusi pendidikan tempatan susulan pengumuman besar Maszlee itu?
Wakil Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) Prof Zaharom Nain berkata terdapat beberapa kejayaan dari segi pengisytiharan dan kenyataan lantang yang dikeluarkan oleh Maszlee.
Namun katanya pelaksanaan adalah lebih penting berbanding mengeluarkan kenyataan yang hebat.
“Ini bukan sekadar semata-mata menyampaikan aspirasi kepada menteri dan apa yang telah beliau katakan, tetapi lebih berdasarkan kepada kesedaran kita bahawa dasar akademik semakin longgar dan memerlukan lebih banyak tindakan daripada hanya sekadar bercakap tentang mahu membawa pembaharuan.
“Terdapat sejumlah ‘pelakon’ di peringkat pengajian tinggi yang perlu dibuang atau digantikan.
“Mereka ini yang bekerja dari luar perlu diingatkan supaya berundur, jika mereka meletakkan pembaharuan sektor pengajian tinggi sebagai keutamaan, bukannya untuk kepentingan diri.
“Kita menyambut baik niat menteri untuk melakukan pembaharuan tetapi kita bimbang pihak yang mahu menentangnya.
Zaharom yang merupakan profesor di Nottingham University Malaysia Campus, berkata terdapat sekurang-kurangnya tiga cabaran untuk melaksanakan pembaharuan universiti.
Pertama, pemikiran semua pihak terhadap kebimbangan status quo yang lebih mengutamakan kawalan seperti yang diamalkan di bawah kerajaan Barisan Nasional.
Oleh itu, usaha memecahkan kuasa dan membenarkan universiti beroperasi secara autonomi perlu dilaksanakan kementerian secepat mungkin.
Kedua katanya, jika sekali pun menteri atau kementerian sudah bersedia untuk memberikan kuasa autonomi universiti, ahli akademik untuk belum bersedia.
“Kebanyakan ahli akademik Malaysia berfikiran konservatif dan menentang pembaharuan. Ia tidak boleh dilaksanakan sekelip mata,” kata Zaharom.
Cabaran ketiga adalah ‘penetapan kaum’ dalam hampir setiap perkara di Malaysia termasuk pengajian tinggi.
Katanya ada ahli akademik sepatutnya diberi peluang untuk memacu universiti ke arah status berkelas dunia, tetapi tidak dibenarkan berbuat demikian kerana status etnik mereka.
Jika keadaan sedemikan berterusan, universiti di Malaysia berada dalam kitaran yang sama seperti sebelum ini. – 18 Oktober, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen