Soalnya sekarang, bagaimana hendak bebaskan mahasiswa?


Mustafa K. Anuar

Pilihan raya kampus masih diuruskan pentadbiran universiti sedangkan ia adalah petunjuk pertama kebebasan mahasiswa mentadbir diri sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2018.

MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik menjanjikan kebebasan politik yang lebih besar kepada mahasiswa dan mengarahkan institusi pengajian tinggi membenarkan pelajarnya menganjurkan program dan forum sendiri.

Tetapi, selain membenarkan kewujudan sudut pidato untuk menggalakkan kebebasan bersuara mahasiswa, bentuk kebebasan pelajar dan titik mula kebebasan di universiti masih lagi jadi tanda tanya.

Mohd Hariszuan Jaharudin dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata selepas pengumuman Maszlee pun, pilihan raya kampus UKM masih lagi diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan bukannya badan mahasiswa.

Bagaimanapun, felo penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) itu menambah yang mahasiswa mungkin tidak mampu menguruskan pilihan raya itu dengan bebas selepas bertahun disuap “panduan” oleh HEP.

Hariszuan, bekas aktivis mahasiswa percaya terpulang kepada pelajar sekarang untuk menuntut kembali autonomi politik mereka supaya boleh menjalankan pilihan raya itu sendiri.

Matlamat akhir, katanya, adalah untuk menghapuskan peranan HEP.

“Autonomi yang diharapkan dalam konteks politik kampus adalah kebebasan mahasiswa untuk menentukan aktiviti mereka dan mengawal kewangan mereka, yang sekarang diambil alih oleh HEP,” katanya.

Janji Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk kebebasan akademik masih tinggal janji, tidak ada usaha untuk menyelaras proses perubahan autonomi universiti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2018.

Tambahnya, mahasiswa perlu sedar yang mereka berhak menguruskan kewangan berkaitan aktiviti kampus, sebahagiannya diambil daripada yuran pengajian mahasiswa.

“Mahasiswa perlu menutut yang yuran mereka disalurkan secara terus kepada badan pelajar seperti Majlis Perwakilan Mahasiswa atau Kesatuan Mahasiswa serta menuntut kebertanggungjawaban badan ini sekiranya wujud salah tadbir kewangan. Ia dapat membantu mewujudkan kemahiran insani mahasiswa.”

Beliau juga menekankan yang kebebasan tidak bermaksud kecemerlangan akademik walaupun ia satu syarat yang mustahak.

“Autonomi universiti juga perlu bermaksud autonomi fakulti. Setiap fakulti sewajarnya bebas untuk menentukan tanda aras masing-masing. Tidak adil untuk menetapkan standard tertentu kepada semua fakulti.”

Hariszuan berkata sebahagian besar ahli akademik dan kakitangan pentadbiran sekarang adalah hasil Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) selama 50 tahun mentadbir apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan mahasiswa dan ahli akademik.

“(Ahli akademik di universiti awam) merasakan selaku kakitangan kerajaan, mereka perlu berkelakuan tertentu- dipandu oleh panduan dan budaya harian keluar masuk kerja.

“Ia memerlukan lebih sekadar kenyataan media daripada menteri pendidikan untuk membuat mereka mengubah perangai.”

Selepas berpuluh tahun kebebasan bersuara dan berpandangan mahasiswa dan akademik disekat, di manakah cara terbaik untuk kembali menyuburkan semangat dan pandangan kritikal institusi pengajian tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2018.

Kedangkalan kemahiran berfikir

Bagi Hariszuan, yang masih tiada adalah budaya kritikal dalam kalangan ahli akademik dan mahasiswa.

“Dan akar masalah ini boleh dijejaki kepada sekolah. Kerana itu, mustahil dan tidak adil untuk meletakkan beban perubahan kelakuan hanya di universiti semata-mata.”

Tasha, yang mengaji di universiti awam di utara Semenanjung pula masih sinikal terhadap jaminan kebebasan politik mahasiswa.

“Adakah Kementerian Pendidikan menyediakan sebarang garis panduan atau memaksa apa sahaja dalam hitam putih, supaya universiti tidak ada pilihan lain kecuali patuh?” soalnya.

Isu yang lebih mustahak adalah memperbaiki kerosakan disebabkan penindasan idea dan suara mahasiswa sejak sekian lama, tambahnya.

“Kita sudah sampai tahap sebenarnya takut untuk berwacana atas alasan ia akan menyinggung orang.

“Tetapi kita okay dengan ‘wacana’ atas nama agama walaupun ia secara alamiahnya menindas atau menyinggung.

“Secara peribadi, saya fikir kecemerlangan akademik akan wujud jika idea dibenarkan dibincangkan, dan terdapat ruang perbincangan tanpa bimbang dikenakan tindakan hanya kerana ‘cakap perkara salah’ atau ‘menyinggung’ orang.

“Saya berharap persekitaran intelektual yang bertenaga yang kita dambakan boleh disuburkan dengan membenarkan lebih banyak ruang terbuka wujud,” katanya. – 18 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen