PEMBANGKANG memainkan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk mencipta konflik antara menteri pendidikan dan timbalannya, kata Dr Maszlee Malik.
Malam tadi, Maszlee menafikan khabar angin yang beliau tidak senada dengan Teo Nie Ching, berkata pembangkang menyebarkan berita palsu.
Barisan Nasional (BN) akan buat semua jenis tuduhan dan memaksa rakyat menerimanya, kata menteri pendidikan itu di TV3.
“Saya bercakap dengan Teo setiap hari dan kami buat keputusan bersama-sama.
“Ada persepsi oleh sesetengah orang dan inilah risiko yang kita ambil bila kita sertai politik.”
Teo sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan UEC menjelang hujung tahun ini.
UEC dikeluarkan kepada lulusan sekolah Cina persendirian dan diiktiraf oleh institusi pengajian tinggi swasta dan banyak universiti luar yang lain.
Maszlee berkata tidak wujud konflik dalam kerajaan persekutuan dalam pengiktirafan UEC.
Satu-satunya pihak yang berkonflik adalan BN, katanya, apabila kenyataan MCA dan Timbalan Presiden Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki bercanggah antara satu sama lain.
Dalam Malaysia Baharu yang media tidak lagi dikawal, katanya, mereka tak boleh elak daripada berita yang disensasikan.
“Apa yang kita boleh buat adalah tunjuk pencapaian kita. Bila kita buat banyak perkara baik, kita tak dapat liputan pula.” – 18 Oktober, 2018.
Komen