PERUBAHAN dalam sistem pendidikan perlukan masa untuk dilihat hasilnya, kata Dr Maszlee Malik.
Menteri pendidikan itu berkata beliau diberikan mandat untuk meningkatkan kefasihan Bahasa Inggeris dalam kalangan belia, menggunakan sains dan teknologi untuk membantu proses pengajaran dan menyemai nilai murni dalam jiwa pelajar.
“Saya sudah mula bekerja dalam tiga perkara ini tetapi ramai kata mereka masih tak nampak apa-apa.
“Semua ini tak boleh berlaku serta merta. Jika saya buat perkara drastik, kesannya akan kekal untuk 20-30 tahun lagi,” katanya di TV3 malam tadi.
Maszlee berkata tugasnya mencabar kerana menggalas portfolio yang sebelum ini diberikan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Tidak ada calon sesuai dan juga dalam manifesto (Pakatan Harapan), perdana menteri tak boleh pegang portfolio pendidikan.
“Dr Mahathir tahu saya seorang ahli akademik dan satu-satunya pensyarah dalam Kabinet.
“Dia pilih orang untuk kedudukan mereka berdasarkan pengalaman mereka.”

Bagi memenuhi mandatnya itu, Maszlee berkata beliau menerima maklum balas daripada pihak berkepentingan seperti Majlis Penasihat Akademik Nasional yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang.
“Dr Mahathir juga meminta sekumpulan pendidik yang pakar dalam bidang masing-masing dan tidak berada dalam politik dan kerajaan untuk menilai sistem pendidikan kita.
“Dalam tempoh enam bulan lagi, pakar ini akan memberikan laporan mereka tentang bagaimana kita boleh bergerak ke hadapan.”
Bagi usaha meningkatkan kefasihan Bahasa Inggeris pula, terdapat program dwi bahasa dan dasar lain tetapi wujud keperluan untuk pakar ini menilainya, katanya lagi.
“Tidak ada satu penyelesaian untuk semua. Di Malaysia, situasinya berbeza kerana masyarakat kita pelbagai kaum.
“Kerana itulah sekolah perlu diperkasa untuk membuat keputusan mereka sendiri sama seperti di negara lain yang progresif.”
Kementerian juga sudah mengembalikan Kempen Membaca Kebangsaan yang akan dijalankan selama 10 tahun akan datang.
“Pada 2030, Malaysia boleh jadi salah sebuah negara paling banyak membaca di dunia. Ia mungkin satu angan-angan tetapi ia boleh jadi kenyataan.”
Menyentuh mengenai sains dan teknologi pula, Maszlee berkata menjelang 2020, keupayaan internet di sekolah akan mencapai 100% berbanding kadar semasa pada 98%.
“Kita juga akan mempunyai lebih banyak kelas etika untuk menyemai nilai murni dalam pelajar kita.” – 18 Oktober, 2018.
Komen