PAKAR ekonomi menjangkakan semakan pertengahan penggal (MTR) kerajaan baharu untuk Rancangan Malaysia ke-11(2016-2020) adalah untuk menghalang kerosakan lebih teruk dan tertumpu kepada pengekalan pertumbuhan dalam situasi hutang negara yang menimbun dan ketidaktentuan ekonomi global.
MTR yang akan dibentangkan hari ini oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat pada jam 4 petang tidak diharapkan akan mempunyai dasar atau langkah pengagihan dan penyerakan pendapatan yang baharu, kata bekas ahli ekonomi Bank Dunia Dr Lim Teck Ghee.
Sebaliknya, masa beberapa tahun berbaki sebelum 2020 ini akan tertumpu kepada kebimbangan pengekalan pertumbuhan ketika Malaysia berdepan ketidaktentuan mencabar dalam prospek pertumbuhan ekonomi disebabkan gabungan faktor tempatan dan antarabangsa, seperti perdagangan perdagangan AS-China dan jangkaan pertumbuhan global yang perlahan, katanya.
Lim berkata ini akan memberi kesan kepada Malaysia yang sudah pun menyaksikan aliran keluar dana asing daripada pasaran modal- trend yang mungkin belum sampai ke kemuncaknya.
Agensi rating kredit, RAM Ratings pada Selasa berkata yang aliran keluar modal asing daripada pasaran bon Malaysia meningkat sebanyak 25% kepada RM3 bilion pada September berbanding bulan sebelumnya, situasi yang banyak dipengaruhi faktor luaran.
Kawalan dan displin fiskal
Menggesa pengawalan dan displin fiskal untuk tempoh dua tahun akan datang, Lim memberitahu The Malaysian Insight yang Putrajaya juga perlu menjadikan ekonomi lebih berdaya saing dan mengatasi ketirisan dan pembaziran yang berlaku.
Putrajaya juga perlu membaiki kerosakan disebabkan oleh “perbelanjaan berleluasa, pembaziran dan korupsi dilakukan kerajaan Barisan Nasional yang sudah salah tadbir dan mensia-siakan sumber manusia dan kewangan negara yang terhad,” tambahnya.
“Bagaimana untuk membaiki kerosakan ini, terutamanya dalam perbelanjaan operasi kerajaan, adalah cabaran terbesar yang perlu ditangani sesegera mungkin.
“Ini juga adalah salah satu bentuk perubahan yang paling banyak cabaran untuk dilaksanakan.”
Lim berkata harga minyak yang semakin tinggi sekarang adalah situasi yang baik untuk Malaysia, walaupun manfaatnya mungkin bersifat sementara.
“(Perbelanjaan) perlu disasarkan dengan berhati-hati kepada pembiayaan set keutamaan sosio ekonomi utama tertentu dan perubahan yang boleh meningkatkan produktiviti dan membawa manfaat yang menyeluruh kepada negara.”
RMK11 bertema “Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat” dibentangkan pada 2015 oleh pentadbiran terdahulu BN. Matlamatnya adalah meletakkan asas untuk pertumbuhan Malaysia menjangkau 2020.
Rancangan itu memperkukuhkan komitmen kerajaan untuk rakyatnya, meletakkan kesejahteraan, inklusiviti dan kelestarian pertumbuhan sebagai keperluan sebuah negara maju.
Rancangan itu meliputi penyediaan pekerjaan, pendidikan, sekuriti, pengangkutan awam dan infrastruktur luar bandar; menangani isu kos sara hidup; meningkatkan pelaburan dan penggunaan persendirian; menjana pertumbuhan baharu digerakkan produktiviti dan pengetahuan; dan perbelanjaan berhemah menerusi bajet berasaskan hasil dan rasionalisasi subsidi.
RMK11 juga menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 5% kepada 6% setahun sehingga 2020; pendapatan per kapita sebanyak RM54,100 dan purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,540 pada 2020.
Matlamat teras RMK11 kekal
Sementara itu, ahli ekonomi Dr Lee Hwok Aun berkata beliau menjangkakan matlamat teras RMK11- menggalakkan pelaburan, meningkatkan produktiviti, mempertingkat kemahiran dan inovasi, menyemai penyerakan adil, menumpukan kepada pendapatan isi rumah, dan mengurangkan kesenjangan kawasan- akan kekal tidak berubah.
Rombakan besar-besaran terhadap rancangan sedia ada tidak sesuai, katanya, menambah yang kerajaan PH baharu sahaja berkuasa lima bulan dan dikekang oleh hutang negara dan ketidaktentuan ekonomi global. – 18 Oktober, 2018.
Komen