RAMAI mahu menjadi manusia religious. Anehnya, mereka berlumba-lumba mahu menjadi Tuhan. Akhirnya agama yang santai lagi damai bertukar menjadi serius dan bengis sehingga berlaku kekerasan atas nama agama – berperang dek mempertahankan nama Tuhan.
Jelaslah, betapa keegoan manusia melunyaikan pesan universal Tuhan. Pergaduhan konflik agama menjadikan manusia bingung memilih yang mana paling benar mengikut kehendak Tuhan. Sampaikan, agamawan tidak sudah-sudah berkelahi. Mereka memaksa orang untuk mengikuti pengalaman bertuhan seperti yang mereka anuti atau fahami.
Bukankah, setiap orang berbeza pengalaman bertuhannya? Justeru, tidak mudah untuk orang lain memahami kebenaran seperti yang kita fahami bentuknya atau lalui jalannya.
Manusia dan imejan Tuhan
Sebagai hamba, manusia punya keterbatasan. Justeru, keberadaan esensi Tuhan tidak mungkin terjangkau dek akal mahupun imaginasi manusia. Bukan semua pengetahuan yang manusia miliki tentang agama, juga adalah pengetahuan tuhan kerana sesungguhnya manusia dibataskan oleh keterbatasan.
Namun, manusia berkejar-kejar menjadikan Tuhan dalam sangkaannya, yang dibayangkannya, yang dikhayalkannya – sebagaimana yang disebut hadis Qudsi: “Aku adalah dalam sangkaan hamba-Ku tentang aku.”
Guru Besar Studi Agama, Wilillam Chittick dalam bukunya The Sufi Path of Knowledge; Ibn Arabi’s Metaphisycs of Imagination menyebut gambaran Tuhan, diciptakan, digagaskan oleh akal dan nafsu manusia. Justeru, selama ini Tuhan adalah sangkaan manusia yang dibuat-buat, bukan diketahui dalam pengetahuan manusia. Sesiapapun.
Ironinya, manusia mudah menyikapi sikap Tuhan dengan menyebut “Allah melaknat”, “Allah mengharamkan”, “Allah mengirimkan bala”. Ungkapan tersebut membawa konotasi yang menjurus kepada sifat bengis Tuhan. Bengiskah Tuhan?
Bengiskah Tuhan sebagaimana gambaran manusia bengis terhadap manusia lain?
Sikap itu adalah sebahagian sikap yang dibuat-buat atas kelemahan manusia yang gagal mengawal nafsu. Lalu, mereka bersandar atas nama Tuhan. Maka, tuhan dibayangkan seumpama objek yang makhluk, yakni yang manusia bayangkan. Jika makhluk mempunyai sifat-sifat kelemahan, mustahil sekali sifat kelemahan tersebut ada pada Tuhan. Sesungguhnya Tuhan tidak bertakluk kepada sifat makhluk.
Perkara ini disebut oleh Reza Aslan dalam karyanya God a Human History tentang “Hypersensitive Agency Detection Device” (HADD) dan Theory of Mind menjelaskan bagaimana terbit sikap berketuhanan muncul dalam otak manusia sehingga perilaku kognitif manusia ini telah memanusiakan Tuhan.
Tuhan yang digambarkan sebagaimana kemampuan manusia boleh memahami manusia lain dan mampu menguasai sikap manusia. Akhirnya sikap manusia yang marah-marah juga disama-bandingkan dengan Tuhan. Tanpa sedar kita telah mencipta Tuhan dalam bayangan yang kita sangkakan.
Nyata, Tuhan bukanlah produk terhasil dari pemikiran kognitif. Sebaliknya ditemukan dalam pertemuan mistik. Tindakan tanpa sedar psiko neurologi dalam melihat agama, telah menghasilkan pandangan esensi objek semua adalah agama.
Misalnya, seseorang melihat sesuatu objek atau perbuatan pasti dikaitkan atau tidak terpisah dengan agama – yang itu Islam, yang ini Islam; semuanya mahu ditempelkan dengan warna agama – tafsiran Tuhan. Fikiran manusia telah dikaburi dengan semangat atau imaginasi agama, mesti Islamik.
Arak ditanggapi dengan balasan kengerian neraka. Pakaian pula mesti tutup aurat dan jika tidak, pasti dijilat api neraka. Pendek kata, semua kejadian, objek atau perbuatan – yang ditafsir otak manusia – diagamakan.
Paling dekat, bencana alam – tsunami misalnya – kerap ditafsir sebagai balasan Tuhan. Sedangkan semua itu belum tentu kehendak-Nya. Manusia tidak mungkin tahu yang sebenar-benarnya tetapi manusia sebaliknya seringkali memandai-mandai.
Maka, semua perkara, segala benda dari pemikiran secara sedar atau bawah sedar ditandai anggapan Tuhan.
Konsep sebegini seolah-olah syirik yang terjadi dalam sejarah Islam. Wahyu diutus kepada Nabi Muhammad bukanlah untuk menghancurkan berhala tetapi untuk mengubah sistem pemikiran beragama.
Jelas, nabi diutus untuk menghapuskan sistem keagamaan yang jauh tersasar kerana menyamakan Tuhan seperti makhluk-makhluk yang lain. Nabi membaiki tradisi yang berbaur syirik seperti keyakinan mengatakan malaikat adalah anak Allah. Kerana sifat makhluk itu ada anak, lalu menyamakan Allah dengan memiliki anak.
Nabi tidak sesekali menggantikan Allah dengan Yahweh – Tuhan Yahudi kerana baginda diutuskan sekadar mengesahkan apa yang sudah terkandung dalam kitab-kitab agama yang terdahulu yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu – Taurat, Injil. Pesan Quran terkandung dalam Surah Yusuf, ayat 111. (12:111).
Berperang demi Tuhan
Mekah merupakan pusat perdagangan dan spiritual. Sebuah kota kosmopolitan, pluralistik terdiri dari Yahudi, Kristian, Zoroastrian, polytheist – sebagai pusat kunjungan ibadat oleh suku Arab. Tiap suku memiliki dewa pelindung yang masing-masing diwakili oleh sebuah patung batu dan semuanya dikumpulkan di Mekah. Dikelilingi berhala tidaklah bermaksud orang-orang jahiliah dahulu tidak mempercayai Allah, malah mereka lebih awal meyakini wujudnya Allah.
Seruan nabi kepada mereka, bukan kerana mereka tidak meyakini Allah itu wujud tetapi memakhlukkan Allah dengan apa yang ada dalam fikiran mereka.
Ajaran yang dibawa Nabi Muhammad adalah mendamaikan. Nabi tidak berperang atau bergaduh sebab perbezaan pandangan atau menolak agama lain.
Sebaliknya, baginda mahu membetulkan cara berfikir ketuhanan. Kerana itu nabi mengajarkan Islam yang tunduk berserah kepada Tuhan, bukan Islam yang dibina atas dasar Tuhan yang disangka-sangka dari fikiran makhluk; kemudian mendakwa itulah Islam yang diajar Tuhan.
Maka tidak pelik yang timbul hari ini absolutism pandangan yang tanpa disedari sudah mentuhankan pemikiran kita, mentuhankan jabatan kita, mentuhankan institusi agama kita, mentuhankan parti atau jemaah kita, mentuhankan tokoh agama kita. Bahkan mentuhankan fikiran tolol kita – anggap itulah Tuhan tafsiran cetek kita.
Akhirnya asal-usul dorongan agama bermula dalam otak manusia.
Tidak ada pandangan seseorang tentang Tuhan itu sebenar-benar tentang Tuhan yang sebenar. Pengetahuan seringkali berkembang dan tidak sesekali sempurna, bahkan berubah-ubah mengikuti perkembangan pengetahuan dan kecerdasan. Sebelum manusia menemukan kemajuan, doktrin dan falsafah Tuhan sudah muncul lebih awal.
Sejak awal, manusia sudah mencari-cari Tuhan walaupun di tengah jauh kemodenan hari ini. Sehinggakan ketika manusia menemui kelompok-kelompok yang berbeza keyakinan, maka timbullah pertanyaan tentang Tuhan siapa paling benar.
Di situlah bermula peperangan demi peperangan; berjejeran darah tumpah atas nama Tuhan.
Tanpa menyedari sifat keterbatasan manusia, segala empati, keadilan, belas kasih boleh berubah sekelip mata menjadi keserakahan yang melampaui batas! – 18 Oktober, 2018.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen