PEGUAM dan mereka yang berkerja dalam pemulihan banduan mahu hakim diberi kuasa budi bicara berhubung tempoh hukuman penjara sebagai pengganti hukuman mati apabila ia dimansuhkan kelak.
Pekerja pemulihan penjara, Bobby John berkata hakim perlu diberi kuasa budi bicara penuh bagi menentukan sama ada sesuatu hukuman itu sepadan dengan jenayah atau jika hukuman lebih pendek daripada 30 tahun adalah sangat wajar.
“Hakim sepatutnya menyuarakan pendapat, sekiranya dan apabila mereka merasakan tahanan telah berkelakuan baik telah pulih, sekiranya dia berpotensi besar (untuk pulih), dan sekiranya semua warden serta pegawai amat berpuas hati, maka parol awal patut dibenarkan,” kata pengarah Crossroads Malaysia yang mengendalikan sesi bulanan dan “sharing session” (sesi perkongsian) bulanan bersama banduan yang menunggu hukuman mati.
John berkata keputusan kerajaan untuk menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara minimum 30 tahun atau penjara seumur hidup bagus “bagi peringkat permulaan”, sambil menegaskan beliau menentang hukuman mati.
“Saya beri contoh satu kes, seorang ketua geng ditangkap kerana memiliki senjata dan sepatutnya mati dalam penjara, tetapi pegawai penjara kagum dengan perubahannya.
“Saya benar-benar percaya yang manusia boleh berubah kerana dah tengok sendiri banyak kes seperti itu yang mana manusia berubah jadi lebih baik. Mereka pulih sepenuhnya,” kata John yang sudah sembilan tahun terlibat dalam program pemulihan. – 17 Oktober, 2018.
Komen