PUTRAJAYA jangan putus asa untuk mansuh Akta Anti Berita Tidak Benar selepas Dewan Negara menolak usul tersebut, kata Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ).
Penyelaras Program CPJ Asia, Steven Butler berkata Pakatan Harapan (PH) perlu terus berusaha memastikan undang-undang tersebut dihapuskan.
“CPJ sangat kecewa dengan senator-senator yang enggan memansuhkan undang-undang berkenaan.
“Kami akan sokong kerajaan untuk terus berusaha,” katanya.
Butler memberitahu The Malaysian Insight pada taklimat “New York on Media Literacy and Combating Misinformation” baru-baru ini.
“CPJ adalah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menggalakkan kebebasan akhbar di seluruh dunia. Kami mempertahankan hak wartawan untuk melapor berita tanpa takut kepada tindakan balas,” kata Butler.
Bulan lepas usul PH untuk memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar ditolak oleh Dewan Negara.
Seramai 28 senator pembangkang yang terdiri daripada Barisan Nasional dan PAS mengundi untuk menolak manakala 21 senator PH mengundi akta itu dimansuhkan.
Akta Anti Berita Tidak Benar dimansuhkan oleh Dewan Rakyat pada 16 Ogos.
Menurut Butler, akta itu merisikokan wartawan dan berpotensi disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak yang menguatkuasakannya.
“Apa yang paling menakutkan ialah ia akan digunakan sebagai senjata penindasan politik terhadap komen yang tidak disenangi atau berita yang memalukan.
“Dalam hal ini, walaupun laporan tidak tepat serta cerita-cerita yang direka merupakan masalah, namun penawarnya boleh menjadi lebih teruk,” katanya.
PH berkata Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 tidak perlu kerana telah sedia ada undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). – 17 Oktober, 2018.
Komen