PELARIAN di Malaysia tidak seharusnya membayar penuh yuran perubatan di hospital kerajaan, kata jawatankuasa Majlis Peguam mengenai pelarian.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Imigresen, Pelarian dan Migran (MRIAC), M. Ramachelvam berkata pelarian dan pencari suaka perlu diberi layanan berbeza dan tidak harus diletakkan di bawah kategori sama dengan pekerja asing.
“Bila ke hospital, mereka diberi diskaun 50% daripada yang dibayar pekerja asing. Ini terlalu tinggi bagi mereka.
“Kalau pesakit rakyat Malaysia bayar RM500, pekerja asing akan bayar RM5,000 bagi rawatan yang sama.
“Kerajaan beri diskaun 50% kepada pelarian dan pencari suaka, tetapi bagi mereka itu masih sangat tinggi,” kata beliau selepas “Rundingan Kebangsaan mengenai Rangka Kerja Dasar Komprehensif untuk Pekerja Migran” di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Ramachelvam, situasi yang dihadapi pelarian dan pencari suaka yang melarikan diri penganiayaan serta mencari perlindungan dalam negara adalah berbeza dengan pekerja asing yang tinggal di sini.
“Pekerja asing ini mempunyai insurans sebagai sebahagian daripada kontrak kerja mereka, meliputi sehingga RM20,000 bagi yuran perubatan.
Sehingga September 2018, seramai 161,454 pelarian dan pencari suaka berdaftar denga UNHCR di Malaysia yang terdiri daripada Myanmar (139,920), Pakistan (5,816), Yaman (2,954), Somalia (2,909) dan Syria (2,851).
Ramachelvam berkata kerajaan perlu menjalankan ujian dan rawatan bagi penyakit berjangkit secara percuma, mempunyai klinik yang lengkap di pusat tahanan dan meningkatkan perkhidmatan vaksin untuk kanak-kanak bagi kumpulan ini. – 17 Oktober, 2018.
Komen