ISU kadar gaji minimum yang dinaikkan hanya RM50 kepada RM1,050 akan dibawa semula ke kabinet minggu depan, kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.
Katanya, beliau setuju untuk membentangkan semula isu itu kepada jemaah menteri selepas mendengar pandangan wakil 17 kesatuan sekerja yang bertemu dengannya hari ini.
“Saya akan bawa perkara itu ke Kabinet untuk memahami dan memikir semula apakah tindakan susulan yang perlu diambil dan pandangan-pandangan mereka (juga) akan dikaji dan akan diambilkira (oleh Kabinet),” katanya kepada wartawan di Parlimen, hari ini.
Kula menjelaskan isu berkenaan perlu diputuskan oleh jemaah menteri.
Pada pertemuan dengan wakil kesatuan sekerja itu pagi tadi, Kula menerangkan kepada mereka jumlah kenaikan RM50 itu dicapai oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan komplikasi luar jangka selepas parti itu mengambil alih kerajaan pada 9 Mei lalu.
“Antaranya adalah kerana kegawatan ekonomi sekarang di negara. Nombor dua adalah kita terlampau banyak berhutang kepada pihak-pihak berkenaan bila ambil kerajaan pada 9 Mei, kita tidak ketahui kita ada hutang sebanyak itu kepada pihak-pihak berkenaan,” katanya.
Kula turut mengulangi penjelasan Pakatan Harapan (PH) kepada 17 persatuan pekerja yang hadir bahawa jumlah RM1,050 bukanlah selama-lamanya, tetapi akan dinaikkan seperti dalam manifesto iaitu RM1,500 dalam tempoh ia menjadi kerajaan.
“Tetapi kawan-kawan daripada MTUC dan organisasi lain mengatakan kuantum itu terlampau rendah,” katanya.
Pada September, kerajaan PH mengumumkan gaji minima bagi pekerja di seluruh negara sebanyak RM1,050.
Namun, ia dikiritik banyak pihak termasuk ahli Parlimen kerana bertentangan dengan manifesto PH.
“Walaupun jumlahnya (RM50) begitu rendah, tapi saya rasa kita tak boleh lupakan yang dalam PH manifesto untuk menyamaratakan gaji minima di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Terdahulu hari ini, lebih 100 orang wakil persatuan pekerja melakukan protes di depan bangunan Parlimen untuk membantah gaji minima RM1,050.
Ia diketuai oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon bagi penyerahan memorandum bantahan kepada Kula.
Menurut Solomon, kenaikan RM50 itu tidak sesuai dengan keadaan sara hidup sekarang yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur.
Selain MTUC, persatuan pekerja yang turut serta merupakan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Jabatan Pekerja Semenanjung Malaysia dan Persatuan Gaji Negara.
“Mereka (pekerja) memilih kerajaan PH kerana nak hidup selesa terutamanya golongan B40 yang dalam kesusahan.
“Kami mengharap kerajaan kaji semula dan beri jumlah yang sesuai,” kata Solomon.
Katanya, kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan untuk menaikkan jumlah gaji minima itu.
Malaysia mula melaksanakan gaji minimum pada Januari 2013 dengan permulaan RM900 untuk Semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak.
Jumlah itu kemudiannya dinaikkan kepada RM1,000 dan RM920 di kedua-dua kawasan pada Julai 2016. – 17 Oktober, 2018.
Komen