Putrajaya tidak mansuhkan bas pengantara, kata menteri


Asila Jalil

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pPerkhidmatan bas pengantara akan diintegrasikan dengan perkhidmatan bas lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2018.

PUTRAJAYA tidak akan memansuhkan perkhidmatan bas pengantara untuk penumpang Transit Aliran Massa (MRT), kata menteri pengangkutan hari ini susulan kritikan orang awam mengenai dakwaan tindakan itu.

Menterinya, Anthony Loke berkata tiada rancangan sebegitu dan perkhidmatan bas pengantara akan diintegrasikan dengan perkhidmatan bas lain.

“Setakat penglibatan Kementerian Pengangkutan, kami tidak mempunyai rancangan memansuhkan perkhidmatan bas pengantara.

“Kami mahu mengintegrasikannya dengan perkhidmatan bas lain dan berharap boleh melancarkan (perkhidmatan) bas pelbagai tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Kekeliruan itu timbul selepas setiausaha politik menteri kewangan, Tony Pua, minggu lalu berkata Putrajaya sedang berbincang dengan syarikat perkhidmatan e-hailing Grab, sebagai “perkhidmatan pengangkutan” untuk penumpang MRT.

Pua, yang bercakap semasa panel pelaburan, berkata Grab boleh menyediakan perkhidmatan pintu ke pintu dari stesen MRT ke rumah penumpang dan kerajaan boleh menjimatkan wang dengan tidak perlu membekalkan bas pengantara.

Pemandu teksi dan penumpang membantah cadangan Pua, mengatakan bukan semua mampu mendapatkan perkhidmatan Grab terutama yang berpendapatan rendah.

Loke berkata kementerian masih mahu menggalakkan lebih banyak pemandu teksi menyertai Grab dan menjadi sebahagian daripada rangkaian e-hailing.

Beliau menambah kebimbangan utama kementerian adalah memperbaiki pengangkutan awam termasuklah rangkaian hubungan dan ketepatan masa.

Satu lagi perkara yang dipertimbangkan ialah penambahbaikan sistem bayaran pengangkutan awam yang lebih lancar dan tanpa tunai. – 17 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen