Persatuan pekerja bantah kenaikan gaji minima


Yasmin Ramlan

Sebahagian ahli MTUC yang hadir di Parlimen hari ini untuk menyuarakan bantahan terhadap kadar gaji minima kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Oktober, 2018.

LEBIH 100 orang wakil daripada persatuan pekerja tiba di depan bangunan Parlimen, hari ini untuk membantah kenaikan gaji minima RM1,050.

Mereka diketuai oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon yang kemudiannya menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.

Kumpulan yang tiba sekitar jam 10.40 pagi tadi melaungkan “Hidup rakyat, bantah RM1,050”.

Bagaimanapun, Kulasegaran yang bertemu dengan mereka pada jam 10.50 pagi menjemput kumpulan tersebut ke bangunan sementara Parlimen untuk membincangkan perkara itu.

Pada September, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan gaji minima bagi pekerja di seluruh negara sebanyak RM1,050.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran bertemu kumpulan yang membuat bantahan di depan Parlimen hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Oktober, 2018.

Namun, ia dikiritik banyak pihak termasuk ahli Parlimen kerana bertentangan dengan manifesto PH yang menjanjikan gaji minima RM1,500.

Malaysia mula melaksanakan gaji minimum pada Januari 2013 dengan permulaan RM900 untuk Semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak.  

Jumlah itu kemudiannya dinaikkan kepada RM1,000 dan RM920 di kedua-dua kawasan pada Julai 2016.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya daripada PKR Maria Chin Abdullan berkata kerajaan perlu mengkaji semula kadar kenaikan gaji dan mengambil kira laporan tahunan Bank Negara pada 2017 yang menyatakan perbelanjaan isi rumah bagi kumpulan B40 semakin bertambah berbanding pendapatan mereka.

Kira-kira 17 NGO yang hadir adalah dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Jabatan Pekerja Semenanjung Malaysia dan Persatuan Gaji Negara. – 17 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen