Wanita didakwa lacur diri di Terengganu boleh buat semakan syarat penjamin


Asila Jalil

Bulan lepas, seorang ibu tunggal didakwa melakukan pelacuran dan dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan sebatan kerana menawarkan seks di bawah undang-undang Syariah Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2018.

IBU tunggal yang terpaksa merengkok dalam penjara kerana menawarkan seks di Terengganu, selain mengumpulkan wang mencukupi untuk jaminan, boleh membawa kesnya ke mahkamah Syariah untuk meminda syarat jaminan atau mendapatkan semakan semula di mahkamah tinggi, kata peguam.

Wanita berusia 30 tahun itu masih berada di penjara kerana gagal mengemukakan tiga penjamin, walaupun selepas penangguhan hukumannya.

Peguam Syarie Boestamam Ahmad berkata wanita berkenaan boleh membawa kesnya ke mahkamah rayuan untuk meminda syarat jaminan berhubung bilangan penjamin.

Beliau berkata biasanya, dua penjamin sudah mencukupi.

Tetapi kerana wanita itu bukan penduduk tempatan Terengganu dan kerana publisiti yang meluas, beliau berkata mahkamah mungkin menetapkan syarat kepada tiga penjamin.

“Mungkin kerana dia dari Selangor dan mahkamah bimbang sebaik sahaja dibebaskan, dia tidak akan kembali ke Mahkamah Syariah Terengganu. Oleh itu (dikenakan) tiga penjamin.

“Ini hanya pendapat saya kerana saya telah melihat beberapa kes di mana pesalah melarikan diri selepas dibebaskan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ibu tunggal itu didakwa melakukan pelacuran dan dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan sebatan kerana menawarkan seks di bawah undang-undang Syariah Terengganu, bulan lepas.

Beliau dilaporkan menawarkan seks untuk mendapatkan wang bagi menampung dirinya dan anak perempuan berumur tujuh tahun yang berada di bawah jagaan saudaranya di Klang, Selangor.

Peguamnya, Che Nur Intan Nazuha Che Mohd Norudi, sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight wanita itu berjayakan mengumpulkan ikat jamin sebanyak RM4,500 melalui kempen yang dimulakan oleh orang ramai.

Peguam itu juga mengatakan hanya dua adik perempuannya bersetuju menjadi penjamin sementara seorang saudara lelakinya enggan membantu dan seorang lagi tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Boestamam berkata, wanita itu boleh mencari individu lain untuk menjadi penjaminnya jika mahkamah tidak menetapkan penjamin perlulah di kalangan ahli keluarganya.

Sementara itu, peguam Syariah Akberdin Abdul Kader berkata wanita itu juga boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi Shariah untuk semakan semula kerana membawanya ke mahkamah rayuan mungkin melambatkan pembebasannya sehingga berbulan lamanya.

“Beliau boleh mendapatkan penjamin lain atau pergi ke mahkamah tinggi. Cara terbaik ialah mendapatkan semakan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Bulan lalu, Hakim Syariah Rosdi menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan enam sebatan.

Susulan itu, Farah Adilla Radin, seorang wartawan daripada The New Straits Times melancarkan kempen “Go Get Funding” untuk membantu ibu tunggal itu membayar yuran guamannya.

Kes wanita itu membangkitkan kebimbangan orang ramai mengenai layanan diterima seorang ibu tunggal yang memerlukan wang, dengan ramai mempersoalkan mengapa bekas suami tidak membayarnya dan nafkah anak, dan mengapa lelaki terlibat dalam cubaan pelacurannya tidak turut didakwa. – 17 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen