Kepelbagaian menerusi sekolah agama tercemar akibat ‘nila setitik’


Mustafa K. Anuar

Sekolah agama dan pusat tahfiz memainkan peranan berguna dalam memberikan penekanan tentang agama dan moral untuk generasi muda, selain membawa kepelbagaian budaya dalam sistem pendidikan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2018.

KES penderaan di pusat tahfiz dan insiden buli membabitkan pelajar sekolah agama mencemari reputasinya dan menimbulkan keraguan tentang nilai sekolah ini dalam masyarakat, kata penyokong pendidikan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Ikram Pulau Pinang Dr Abdul Halim Abdul Aziz berkata sekolah agama memainkan peranan berguna dalam memberikan penekanan tentang agama dan moral untuk generasi muda, dan juga membawa kepelbagaian budaya dalam sistem pendidikan negara.

“Namun, kes salah laku di sekolah ini dan insiden kenakalan pelajar mencemarkan reputasinya,” kata Halim.

“Sebenarnya, sekolah agama dapat memberi nilai tambah kepada sistem persekolahan negara jika diuruskan dengan baik.”

Ikram mengendalikan beberapa sekolah agama di seluruh negara termasuk Pulau Pinang, dan Halim mendesak kebimbangan sesetengah pihak bahawa sekolah agama dan vernakular boleh menjejaskan integrasi negara dan perpaduan, perlu ditangani segera.

“Sekolah-sekolah ini boleh berjaya – dengan galakan Kementerian Pendidikan – untuk menanam nilai dan karakter rakyat Malaysia dalam masyarakat yang pelbagai budaya dan agama,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Agenda perpaduan sangat besar dan memerlukan sokongan aktif daripada semua institusi pendidikan.”

Cabaran

Bagaimanapun katanya, bahaya untuk sekolah agama ialah risiko terasing daripada sekolah tidak berasaskan agama, di mana ia boleh membawa kepada jurang dalam masyarakat.

Halim berkata walaupun beliau menyokong kuat cadangan pengagihan kuasa pusat dalam sistem pendidikan negara bagi memberi lebih kelonggaran untuk sekolah secara individu menjalankan program mereka, tetapi perlu juga ada pemantauan berkesan.

Katanya, ada risiko jika terlalu banyak autonomi diberikan kepada sekolah agama dan juga sekolah selain sekolah kerajaan – kerana bimbang sekolah boleh menjadi tempat tersemainya ideologi ekstrem.

“Pengagihan kuasa tidak bagus jika hasil pendidikan yang diharapkan tidak dapat melahirkan karakter rakyat Malaysia yang kuat dan tidak selaras dengan aspirasi negara iaitu keharmonian dalam kepelbagaian kaum dan agama.

“Apa yang membimbangkan ialah ia membawa kepada ekstremisme,” katanya.

Beliau juga mengecam hakikat bahawa pelajar sekolah agama sering menjadi bahan kritik tentang sikap mereka, di mana ia menambah tekanan kepada pentadbir sekolah.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad sebelum ini arah sebuah sekolah tahfiz ditutup selepas pengetuanya didakwa meliwat sembilan pelajar lelaki. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2018.

Halim berkata ini disebabkan masyarakat mengharapkan sekolah itu menjadi contoh kebaikan, maka diletakkan standard terlalu tinggi kepada tingkah laku pelajar.

“Itu sebabnya mana-mana isu disiplin di sekolah agama akan mendapat perhatian dan liputan media yang berlebihan.

“Secara umumnya, pelajar sekolah agama lebih berdisiplin dan berkelakuan baik.

“Namun, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Ini mencipta persepsi negatif terhadap sekolah agama,” katanya.

Ada yang mencadangkan peraturan lebih ketat dikenakan dan pemantauan terhadap sekolah agama dipertingkatkan susulan beberapa insiden kontroversi seksual berlaku membabitkan pusat tahfiz.

Bulan lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mengarahkan sebuah sekolah tahfiz di Kuala Lumpur ditutup selepas pengetuanya didakwa atas kesalahan meliwat sekurang-kurangnya sembilan pelajar lelaki di pusat itu.

Pada Mac tahun ini, seorang lelaki berusia 41 tahun yang bertugas sebagai sukarelawan di sebuah sekolah tahfiz di Kuantan dikenakan 38 pertuduhan serangan seksual dan liwat terhadap 10 pelajar.

Empat bulan kemudian, seorang guru tahfiz berusia 21 tahun di Taman Keramat Permai, Hulu Klang ditahan kerana memaksa seorang pelajar melakukan seks oral kepadanya beberapa kali. – 17 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen