PENDIDIKAN aliran Cina di Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-200 tahun depan, dengan pembukaan sekolah Cina pertama pada 1819 di Kuil Ng Fook Thong, George Town, Pulau Pinang.
Walaupun sistem persekolahan Cina sudah lama bertapak sejak dua abad lalu, para pengajar mendakwa sekolah vernakular terus berdepan cabaran termasuk prasangka dan penentangan.
Masalah terbesar yang dihadapi oleh kaum Cina, dan sekolah Tamil yang lebih kecil, adalah prasangka sistem pendidikan kebangsaan, yang berusaha memperjuangkan penggunaan hanya bahasa Melayu untuk mengajar, kata pendidik dan aktivis Kua Kia Soong.
Disebabkan tekanan politik yang dikenakan kepada pemerintah oleh para pendidik Melayu, pendidikan Cina di Malaysia menghadapi cabaran daripada kekurangan dana hinggalah kepada pengehadan bilangan sekolah.
“Bukan sahaja kanak-kanak menderita. Ia juga menghalang persefahaman antara budaya,” kata penasihat Suaram itu.
Di peringkat menengah, terdapat dua jenis sekolah menengah Cina. Sekolah menengah Cina persendirian (ICSS) menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar dan tidak menerima dana kerajaan persekutuan.
Pelajarnya mempelajari sukatan pelajaran yang diselaraskan oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu (UCSCAM), dan mengambil Sijil Peperiksaan Bersepadu Bersepadu (UEC).
Satu lagi jenis pendidikan adalah sekolah menengah Cina kebangsaan yang mengikuti sukatan pelajaran pendidikan kebangsaan yang diajar dalam Bahasa Melayu dan menerima bantuan kerajaan.
Pelajar mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seperti mereka yang bersekolah menengah menggunakan pengantar bahasa Melayu.
Bagi ICSS, kekurangan dana persekutuan bermakna sekolah bergantung kepada sumbangan masyarakat Cina, dan bayaran yuran daripada pelajar.

Tetapi autonomi dan kebebasan di luar sistem pendidikan kebangsaan memberikan kelebihan kepada sekolah ini untuk mewujudkan kurikulum sendiri, dan berusaha ke arah pembaharuan pendidikan.
Satu jawatankuasa ditubuhkan dan baru-baru ini menyelesaikan satu rangka tindakan cadangan mereka untuk memperbaiki sistem pendidikan Cina, kata Tan Yew Sing yang merupakan timbalan presiden kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong.
“Salah satu perkara yang diketengahkan dalam rangka tindakan adalah keperluan mencari cara bagaimana untuk menilai pelajar dengan cara lebih komprehensif tanpa bergantung sepenuhnya kepada keputusan peperiksaan,” katanya.
Terdapat 60 buah sekolah menengah China persendirian di seluruh negara, satu bilangan yang tidak bertambah sejak 1970-an apabila kerajaan persekutuan menolak kelulusan untuk lebih banyak sekolah jenis itu dibina.
Selain isu dana, kesesakan dan kekurangan ruang bagi kemudahan sukan juga menjadi masalah utama terutama sekolah di kawasan bandar.
Dan isu paling diperdebatkan berhubung sekolah persendirian Cina adalah hakikat yang kerajaan persekutuan tidak mengiktiraf UEC.
Ini bermakna pelajar dari sekolah ini tidak dapat memasuki universiti awam dan mendapatkan pekerjaan di sektor awam di negara ini, tetapi lebih penting, keengganan memberi pengiktirafan itu dilihat oleh sesetengah masyarakat Cina sebagai satu bentuk diskriminasi, kata penganalisis kanan di Institut Pulau Pinang, Dr Lim Chee Han.
“Masalah di UEC bukan hanya mengenai peluang pekerjaan di sektor awam, tetapi lebih kepada simbolik dari segi pengiktirafan negara terhadap kewujudan dan kemampuan pelajar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Bagi mereka, dasar yang tidak memberi pengiktirafan itu adalah diskriminasi, dan ia mungkin mewujudkan sentimen ketidakpercayaan dan perkauman tidak sihat kepada perpaduan negara.”
Tindakan mempolitikkan isu UEC juga memainkan peranan penting dalam masalah penghijrahan cendekiawan negara.
“Kita kehilangan pelajar yang bagus,” kata Kua daripada Suaram, yang berkata pelajar lulusan ICSS, Pua Khein Seng yang mengetuai syarikat besar di Taiwan yang membangunkan cakera USB flash mudah alih pertama di dunia yang dipanggil “Pen Drive”.
Pua adalah pelajar ICSS dari Sekinchan.
Mengubah landskap
Sekolah ICSS dan kebangsaan Cina mengalami perubahan tertentu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya peningkatan bilangan pelajar bukan Cina.
“Ibu bapa bukan Cina ini mungkin melihat nilai ekonomi pendidikan Cina yang dapat membolehkan anak-anak mereka menjadi lebih kompetitif dalam kerjaya pada masa akan datang,” kata Lim.
“Ini bertepatan dengan trend semasa dengan peranan China menjadi salah satu kuasa ekonomi paling dominan di dunia.”
Manfaat pembelajaran bahasa utama lain juga mendorong banyak ibu bapa bukan berketurunan Cina untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina.
“Sesetengah orang mungkin melihat (sekolah vernakular Cina) mempunyai kualiti lebih tinggi dalam pendidikan berbanding sekolah kebangsaan. Di samping itu, sesetengah mereka mungkin tidak menyukai pembangunan sekolah kebangsaan lebih Islamik dan bersifat perkauman,” katanya.

Perpaduan dari bilik darjah
Kewujudan sekolah vernakular di negara ini, khususnya sekolah Cina, menjadi perdebatan pihak tertentu kerana mereka dilihat sebagai memudaratkan objektif utama untuk mencapai integrasi negara melalui pendidikan.
Bagaimanapun, Tan berkata ia memerlukan lebih daripada bahasa untuk mencapai integrasi nasional, sambil menambah keharmonian kaum hanya boleh benar-benar kukuh apabila kerajaan dilihat adil terhadap semua rakyatnya.
“Terdapat banyak perdebatan tentang bagaimana untuk berusaha ke arah integrasi nasional atau keharmonian kaum, dan banyak pendekatan juga dicadangkan.
“Tidak kira apa pendekatannya, pada pendapat saya, pertama dan paling penting, dasar kerajaan yang menyeluruh harus dilihat sebagai adil kepada semua kaum,” kata Tan.
“Jika tidak, tiada jaminan walaupun meletakkan semua kanak-kanak di bawah satu bumbung mampu mempromosikan keharmonisan kaum apabila satu kumpulan tertentu jelas lebih disukai atau istimewa berbanding yang lain.” – 17 Oktober, 2018.
Komen