SM Zakir menulis novel Ikarus yang penuh kritikan politik. Novel itu dilancarkan pada 4 Mei lalu, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur – lima hari sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14 yang bersejarah itu.
Ikarus, novel setebal 360 halaman, melihat senario politik Malaysia sejak era gerakan protes jalanan anjuran Bersih, bermula pada 2003. Intro buku ini memaparkan suasana demontrasi jalanan di Dataran Merdeka berdasarkan kaca mata watak utamanya.
Secara ikonik, watak utama novel ini ialah manusia bersayap. Iskandar, digambarkan secara fiksyen seakan-akan watak manusia tanpa rasa yang sedang menyaksikan kebangkitan perubahan di Kuala Lumpur.
SM Zakir, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 2011, adalah cerpenis prolifik. Walaupun banyak menulis cerpen, SM Zakir pernah menghasilkan novel pada 2011. Novel sulungnya juga bertema politik. Malah, berjudul Ahli Politik.
Pada era sastera Melayu memilih untuk berdiam diri daripada terbabit dengan kritikan politik selama tiga dekad, Ikarus muncul meneruskan kesinambungan perjuangan kumpulan cerpen Naratif Ogonshoto, karya Sasterawan Negara, Anwar Ridhwan.
Pada alaf baru ini, karya Anwar dilihat antara yang paling berjaya merakamkan secara unik dan berseni krisis politik tanahair pada 1998 melalui karya sastera yang hebat. Malah, dianggap satu-satunya karya berprofil tinggi yang berbau politik dalam dekad-dekad mutakhir ini. Karya hebat Anwar ini diterbitkan pada 2001.
Justeru, Naratif Ogonshoto dan Ikarus kini dianggap dua novel besar sastera Melayu yang menghantar isyarat merujuk pada persekitaran politik abad 21 yang dipenuhi momen-momen krisis.
“Ia dihasilkan tanpa meramal atau mahu merujuk apaapa jangkaan terhadap keputusan PRU 14, ” kata SM Zakir.
SM Zakir, dalam satu pertemuan di kafe ibu kota dua hari selepas PRU14 turut menjelaskan, Ikarus ialah pemerhatian beliau terhadap seismografi politik tanahair yang mula menampakkan tanjakan perubahan sejak selepas PRU 12 pada 2008.
“Pemikiran kosmopolitan sudah menapak, dan Ikarus mengupas kesan perubahan itu,” katanya.
SM Zakir tidak partisan. Bukan aktivis pro atau anti politik. Dunianya mesra sastera. Malah, hampir sedekad ini, seluruh hidupnya bergelumang sepenuh masa dengan dunia kesusasteraan.
Selain menulis, SM Zakir juga penerbit melalui Nusa Buku Sdn Bhd. Dia juga aktif mengembara di seluruh negara. Hadir sebagai panel atau pemikir dalam forum dan majlis sastera; besar atau kecil – sama ada kampungan atau antarabangsa. Atau, selalu menghilang ke luar negara menyertai perlbagai majlis sastera.
SM Zakir, dalam wawancara dengan Utusan Malaysia pernah menjelaskan, sejarah besar PRU-4 dalam Ikarus bukan semata-mata tentang tumbangnya BN, tetapi juga mencanai dimensi-dimensi pandangan masa depan. Terutama, kejatuhan yang menimpa BN pasti boleh berulang pada masa hadapan.
“Sejarah politik 2018 telah saya ramalkan dan telah dituliskan dalam novel Ikarus… dan juga sejarah masa depannya! Kejatuhan ini disebabkan gelombang atau kebangkitan masyarakat menengah kosmopolitan.”
Dalam perbualan di kafe itu juga, SM Zakir melahirkan pandangan, kejatuhan BN dan munculnya era keterbukaan akan turut merubah trend kesusasteraan tempatan. Malah, peranan dan sigfikan institusi sastera dan sasterawan itu sendiri, akan turut terkesan secara langsung.
Bagi pecandu sastera dan peminat buku, Ikarus berbaloi untuk dibaca. Apalagi novel ini muncul ketika penulisnya secara lebih awal telah meramalkan, politik tanahair telah dan sedang, malah bakal terus menempuh perubahan demi perubahan.
Untuk rekod, tahun ini, kumpulan cerpen ‘20 Cerita Tentang Tuhan’ karya SM Zakir turut memenangi Anugerah Buku Negara sempena PBAKL 2018. Ikarus diterbitkan Institut Buku & Terjemahan Malaysia.– 17 Oktober, 2018
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen