Najib, Irwan akan ke PAC minggu depan


Chan Kok Leong

Bekas perdana menteri Najib Razak dipanggil untuk beri penjelasan berhubung kehilangan wang bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2018

BEKAS perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah dipanggil untuk memberi keterangan di Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) minggu depan, menurut sumber. 

Kedua-duanya diminta menjelaskan kepada PAC berhubung kehilangan wang bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion. 

“Mereka dijadualkan hadir ke PAC pada Selasa dan Rabu depan,” menurut sumber berkenaan selepas mesyuarat PAC di Parlimen semalam. 

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 8 Ogos mendedahkan berhubung wang bayaran balik GST berjumlah RM18 bilion yang hilang ketika di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

  Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah sebelum ini menafikan wang berkenaan telah digunakan oleh kerajaan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2018

Walaupun jumlah bayaran balik yang belum dijelaskan adalah sebanyak RM19.4 bilion (sehingga 31 Mei 2018), hanya terdapat RM1.486 bilion dalam akaun pembayaran balik, kata Lim.

Menteri kewangan itu berkata penangguhan (sehingga dua tahun) bayaran balik kepada syarikat adalah berikutan kekurangan dalam akaun bayaran balik. Beliau mendakwa BN membelanjakan wang berkenaan selepas meletakkannya ke akaun yang disatukan. 

Lim dijadualkan untuk memberi keterangan kepada PAC pada 22 Oktober. 

Jumlah itu, yang dimaksudkan untuk menjadi kredit cukai input yang terhutang kepada lebih daripada 100,000 syarikat – dengan beberapa tuntutan sejak tahun 2015 – tidak dalam Dana Amanah Pengembalian Cukai selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan.

Irwan bagaimanapun menafikan wang bayaran balik GST telah digunakan kerajaan sebelum ini.

 Menteri Kewangan Lim Guan Eng turut dijadualkan untuk memberi keterangan kepada PAC pada 22 Oktober. –  Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2018

Beliau juga mendakwa RM15 bilion tunggakan tuntutan tidak dibayar kerana ia memerlukan pengesahan dan audit bagi mengelakkan penyelewengan. 

Sejak siasatan dibuka semula pada September, PAC sudah menyoal siasat bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah dan Johari Abdul Ghani. 

13 anggota PAC diketuai bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Ronald Kandee (BN-Beluran) dan dibantu oleh Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur). 

Anggota PAC lain adalah Wong Chen (PH-Subang), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Baru), Willie Mongin (PH-Puncak Borneo), Steven Choong (PH-Tebrau), Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera), Wong Shu Qi (PH-Kluang), Muslimin Yahaya (PH-Sg Besar), Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bahru) dan Robert Lawson Chuat (GPS-Betong). – 17 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen