KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengkaji untuk kembalikan TV Pendidikan yang boleh diakses sama ada dalam televisyen atau dalam talian, kata Maszlee Malik.
Menteri pendidikan itu berkata kementerian kini sedang membangunkan kandungannya sendiri yang boleh dikongsi dalam talian.
“Ia lebih mudah dibuat untuk dalam talian tetapi semua orang perlu ada akses kepadanya.
“Saya juga akan berbincang dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengenai kemungkinan untuk menyiarkan TV Pendidikan di RTM,” katanya selepas merasmikan program anugerah sekolah cemerlang di Bukit Kiara hari ini.
TV Pendidikan diterbitkan oleh KPM yang memaparkan program untuk pelbagai subjek sekolah.
Ia dimulakan pada 1972 dan dihentikan pada 1998.
Maslzee berkata, pihaknya juga menyedari telefon pintar sudah menjadi keperluan dan mereka cuba membangunkan kandungan pendidikan untuknya.
“Kementerian Pendidikan juga akan wujudkan beberapa aplikasi pendidikan untuk telefon pintar.
“Kita juga mahu banjiri media sosial dengan kandungan pendidikan bagi membina karakter (dalam diri pelajar).”
Maszlee berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk menyediakan semua kandungan pendidikan ini menjelang tahun depan. – 16 Oktober, 2018
Komen