PKR akan siasat dakwaan RM100 untuk satu undi, kata presiden


Yasmin Ramlan

Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri itu berkata beliau tidak menyedari perkara sedemikian berlaku seperti yang didakwa oleh Rafizi Ramli.

DR Wan Azizah Wan Ismail berkata PKR akan menyiasat dakwaan Naib Presiden Rafizi Ramli berhubung politik wang yang berlaku dalam pemilihan parti.

Presiden PKR itu berkata beliau tidak menyedari perkara sedemikian berlaku seperti yang didakwa Rafizi.

Jelasnya, pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan memanggil Rafizi berhubung isu tersebut sekiranya perlu. 

“Kita akan siasat,” kata Wan Azizah pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Rafizi yang bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti kali ini, mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Dakwanya, dalam pemilihan parti itu terdapat negeri yang ditawarkan RM100 untuk satu undi.

Pada pemilihan kali ini, Rafizi yang juga bekas ahli Parlimen Pandan menentang penyandang timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali yang juga menteri hal ehwal ekonomi. – 16 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen