Umno tidak bincang kerjasama dengan PKR, kata Zahid


Yasmin Ramlan

Umno sebaliknya akan terus bersama parti pembangkang yang lain menyuarakan isu yang melibatkan kepentingan rakyat, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Oktober, 2018.

TIADA sebarang perbincangan kerjasama politik antara Umno dengan PKR selepas Anwar Ibrahim kembali jadi ahli Parlimen selepas menang pilihan raya kecil di Port Dickson, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Umno sebaliknya akan terus bersama parti pembangkang yang lain menyuarakan isu yang melibatkan kepentingan rakyat, kata ketua pembangkang di Dewan Rakyat itu.

“Kita tidak membuat sebarang langkah tetapi kita terus memperkukuhkan pembangkang, barisan gagasan pembangkang ini untuk membawa isu-isu rakyat.

“Kita yakin bahawa isu-isu ini merupakan perkara yang menjadi keresahan kepada rakyat keseluruhannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan apakah sekarang ada peluang cerah untuk Umno berbincang untuk mengadakan kerjasama politik dengan PKR.

Pada masa sama, Zahid mengucapkan tahniah atas kemenangan bergaya bakal perdana menteri kelapan itu.

“Saya bagi pihak Umno dan sebagai ketua pembangkang ingin ucapkan tahniah walaupun agak terlewat sedikit tapi ucapan tahniah ini adalah satu pendirian kami. Siapa saja pun yang memenangi kerusi dalam pilihan raya kecil, kita ucapkan tahniah.

“Semoga beliau dapat menyumbangkan usaha dalam menterjemahkan makna demokrasi di negara kita,” katanya.

Anwar memenangi kerusi tersebut sebanyak 31,016 undi dengan majoriti yang lebih besar iaitu 23,560 undi berbanding 17,710 undi yang dicatatkan bekas ahli Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah dalam Pilihan Raya Umum ke-14. – 16 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen