Negara mampu bina jet pejuang sendiri menjelang 2030, kata menteri


Looi Sue-Chern

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata hasil penyelidikan menunjukkan yang negara mampu membina jet pejuangnya sendiri dalam tempoh 12 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2018.

MALAYSIA mampu membina jet pejuang sendiri menjelang 2030, tetapi berdepan dengan kekangan kewangan, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Menjawab soalan di Dewan Rakyat mengenai mandiri industri pertahanan tempatan, beliau berkata universiti dan penyelidik sudah memberi input yang Malaysia mampu membina jet pejuangnya sendiri dalam tempoh 12 tahun.

“Tetapi kita perlu mempunyai keupayaan penuh untuk berbuat demikian, terutamanya dari segi kewangan. Kita boleh membinanya tetapi ia mestilah dalam bilangan yang besar, bukan hanya 50 buah. Ia tidak ekonomi.

“Jika kita membina dalam jumlah besar pula, ke mana kita akan menjualnya? Kajian juga harus difokuskan pada perkara ini,” kata Mohamad (ahli Parlimen Kota Raja-PH) dalam responsnya kepada Abd Latiff Ahmad (Mersing-BN) semasa sesi menyoal pagi tadi.

Latiff bertanya mengenai usaha Kementerian Pertahanan dan Majlis Industri Pertahanan Malaysia (MIPM) untuk membantu syarikat tempatan menyediakan produk serta perkhidmatan kepada tentera agar industri pertahanan mampu mandiri.

Mohamad berkata pihak kementerian dan MIPM sentiasa bekerjasama dengan syarikat tempatan yang menyediakan barangan serta perkhidmatan pertahanan.

Beliau berkata MIPM juga memberi tunjuk ajar kepada syarikat terlibat dalam industri itu, dan mengambil bahagian dalam pameran pertahanan di seluruh dunia untuk memberi keyakinan kepada peserta industri berhubung kemampuan syarikat pertahanan Malaysia. – 16 Oktober, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen