MEDIA sepatutnya membuat liputan atas isu-isu yang lebih penting dan bukannya tentang “gambar dalam tab mandi”, kata menteri Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menteri belia dan sukan itu menjawab kritikan mengenai gambarnya tidak berbaju dalam tab mandi, menjalani terapi ais, yang tersebar di media sosial.
Rakyat Malaysia di media sosial merasakan foto yang beliau paparkan di akaun Twitter dan Instragramnya itu tidak wajar datang daripada seorang menteri.
“Buat liputan isu yang lebih penting. Saya rasa itu lebih baik. Media perlu berhati-hati tentang laporannya,” kata Syed Saddiq kepada wartawan di Parlimen hari ini.
Beliau ditanya adakah foto itu beliau padam selepas mendapat kecaman di media sosial.
Syed Saddiq, yang akan menyambut hari jadi ke-26 pada Disember ini, memaparkan foto itu di akaun Twitter dan Instagramnya pada Sabtu lepas.
Gambar itu menunjukkan beliau menjalani terapi ais selepas perlawanan persahabatan bola sepak pada acara Hari Sukan Negara.
Ahli Parlimen Muar itu antara ahli politik yang mempunyai ramai pengikut di media sosial, dengan 614,000 orang di Twitter dan 1.5 juta di Instagram. – 16 Oktober, 2018.
Komen