Had umur jual alkohol dinaikkan kepada 21 tahun


Yasmin Ramlan

Pindaan terbaharu akan melarang penjualan minuman beralkohol kepada mereka yang berumur kurang daripada 21 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini. – Gambar EPA, 16 Oktober, 2018.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memperketatkan had umur penjualan alkohol daripada 18 tahun kepada 21 tahun ke atas, berkuatkuasa hari ini.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia adalah pindaan peraturan 361 mengenai standard am bagi minuman beralkohol sedia ada.

“Ia melarang penjualan minuman beralkohol kepada mereka yang berumur kurang daripada 21 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.

“Semua penjual minuman beralkohol diwajibkan mempamerkan notis ‘Meminum arak boleh membahayakan kesihatan’ di depan tempat minuman beralkohol dijual dan tanda larangan menjual kepada mereka yang berumur kurang daripada 21 tahun di kaunter jualan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dzulkefly berkata peraturan itu juga mewajibkan supaya minuman beralkohol untuk jualan dipamerkan di kabinet atau rak berasingan dengan makanan lain.

Selain itu, penjual juga diwajibkan meletakaan tanda “Meminum arak boleh membahayakan kesihatan” di atas semua label produk minuman beralkohol.

Pindaan itu juga mewujudkan peraturan baharu 386A mengenai Sebatian Minuman Keras (Compounded Hard Liquor atau CHL). – 16 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen