PESALAH yang dikenakan hukum penjara seumur hidup selepas pemansuhan hukuman mati perlu menyempurnakan tempoh hukumannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Liew Vui Keong di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi itu berkata hukuman penjara seumur hidup selama 30 tahun akan dilaksanakan.
“Tiada kesan retrospektif bagi mereka yang kini menjalani hukuman… jika hukuman penjara seumur hidup atau 30 tahun, kerana ini berdasarkan prinsip undang-undang.
“Katakanlah jika Lembaga Pengampunan menggantikan hukuman mati dengan penjara hari ini, hukuman itu akan dilaksanakan mulai hari ini,” katanya semasa sesi menyoal di Dewan pagi ini.
Liew berkata demikian susulan soalan tambahan daripada P Kasthuriraani (Batu Kawan-Pakatan Harapan) mengenai hukuman mati yang bakal dimansuhkan di Malaysia.
Kasthuriraani bertanya mengenai pendirian kerajaan mengenai kes retrospektif.
Beliau juga bertanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk menubuhkan dana untuk membantu keluarga mangsa pembunuhan dan memberikan sokongan mental kepada keluarga kedua-dua mangsa serta pelaku yang sudah dihukum. – 16 Oktober, 2018.
Komen