MENDIDIK masih mendatangkan kepuasan tetapi ia juga kerjaya yang mencabar kerana guru hari ini terbeban kerja, kata seorang guru sekolah rendah yang sudah 30 tahun berpengalaman jadi pendidik.
“Ia menuntut kekuatan minda, jiwa dan semangat,” kata guru itu yang enggan dinamakan.
Katanya, cabaran pertama yang dihadapi guru hari ini ialah kerja-kerja pentadbiran.
“Kertas kerjanya jadi lewah kerana dibuat dalam talian dan pada masa sama dicetak juga untuk disemak ketepatannya.
“Daripada fokus pada pengajaran, pembelajaran dan proses penilaian yang lain, guru buat banyak kerja lewah. Ini menyebabkan merosotnya kecekapan dan keberkesanan guru.
“Malah banyak yang tertekan kerana kertas kerja dan tenggat yang ditetapkan oleh pegawai pendidikan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kurikulum abad ke-21 mengenai kemahiran pembelajaran telah disepadukan di beberapa buah sekolah dan sekolah guru ini satu daripadanya.
Namun beliau percaya mesti ada infrastruktur yang baik serta juga peralatan dan kemudahan untuk membantu pengajaran yang baik.
“Kami tidak ada LCD yang cukup di bilik darjah untuk mengajar ICT (teknologi maklumat dan komunikasi).
“Walaupun ada makmal komputer di sekolah, penggunaannya terhad kerana ia kemudahan yang dikongsi semua. Oleh sebab makmal komputer terpisah dari kelas, ia tidak dapat digunakan dan selalu dikongsi dengan kelas lain.
“Susun atur makmal komputer juga tegar dan tetap, tidak ada ruang untuk aktiviti kumpulan kerana papan kekunci dan tetikus sudah makan ruang meja,” katanya.
Tambah beliau, kelas juga selalu sesak.

Dalam kes guru itu, beliau mempunyai purata 34 murid dalam sebuah kelas, selain tiga kelas bahasa Inggeris yang merangkumi 30 waktu dalam seminggu.
“Saya panggil ini tekanan kerana saya ada KPI untuk dicapai bagi semua tiga kelas, satu kelas Tahun 6 (UPSR) dan dua kelas Tahun 5.”
Selebihnya, ada masalah “beban kurikulum”.
“Dengan permintaan berterusan untuk melaksanakan program baru di sekolah, walaupun ada banyak subjek dalam kurikulum, tentulah guru jadi tertekan.
“Guru juga terbeban dengan tugas kerani dan mesyuarat yang panjang. Kenapa kita tidak biarkan guru buat apa yang mereka dilatih, iaitu mengajar?”
Seorang lagi guru yang mengajar di sekolah utama di Pulau Pinang juga menyuarakan hal yang sama tentang kertas kerja.
Guru yang juga enggan dikenali itu berkata beban pentadbiran termasuklah memasukkan data rekod kehadiran pelajar dan prestasi mereka di komputer dan kemudian mengulanginya secara manual di kertas.
Sesetengah guru, tambah beliau, tiada semangat untuk mengajar kerana perguruan tidak lagi dianggap kerjaya yang mulia seperti dulu.
Seorang guru di sekolah menengah di Bukit Mertajam juga mengeluh terlalu banyak aktiviti yang perlu dikendalikan oleh guru.
“Selain aktiviti ko-kurikulum di sekolah, ada juga aktivit di luar sekolah: pertandingan bahas, sukan dan sebagainya. Ini menyebabkan guru tidak masuk kelas dan adakalanya diganti oleh rakan-rakan yang juga akan terbeban.” – 16 Oktober, 2018.
Komen