SATU pendekatan baru diperlukan untuk menjadikan pendidikan itu menyeluruh bagi memastikan adanya pembangunan kanak-kanak dari semua sudut, kata ahli akademik.
Sistem pendidikan kebangsaan perlu memberi penekanan kepada aspek pembentukan sahsiah bermula di peringkat sekolah rendah, kata mereka.
Mereka menarik perhatian sistem sedia ada terpecah pada beberapa jenis sekolah.
Ahli akademik itu juga mengingatkan bahawa tidak cukup insentif kepada guru untuk memperbaiki diri mereka sendiri yang akhirnya akan menguntungkan murid.
“Asasnya ialah kita mengajar disiplin, menepati masa, kebersihan, etika, kesedaran sivik, nilai dan harga diri serta kemahiran sosial seperti berkongsi dan kerjasama,” kata Prof Abdul Rashid Mohamed, seorang profesor pendidikan di sebuah universiti tempatan.
“Anak-anak harus diwajibkan misalnya untuk membersihkan tandas sebagai cara membina disiplin dan kesedaran sivik, seperti yang dilakukan di Jepun. Dengan cara ini, anak-anak dapat merasakan bahawa sekolah itu mereka punya,” tambahnya.
Katanya, pada peringkat rendah atas, barulah murid-murid boleh diajar bahasa, matematik dan sains.
Untuk menjayakan ini, dan mengambil kira kepentingan peringkat tumbesaran kanak-kanak, beliau berkata guru yang terbaik harus ditugaskan mengajar kanak-kanak di sekolah rendah – dan bukannya dinaikkan pangkat sebagai pentadbir seperti yang berlaku sebelum ini.
Rashid juga bimbang akan tumpuan pada peperiksaan dalam sistem sekolah kerana ia melumpuhkan rasa ingin tahu dan kreativiti kanak-kanak.
“Mendapat keputusan peperiksaan yang baik bukan saja harapan pelajar dan guru tetapi seluruh masyarakat.”
Tentang kualiti guru, beliau berkata harus ada pembangunan profesional berterusan selaras dengan prospek naik pangkat berbanding kenaikan pangkat mengikut senioriti.
Kenaikan pangkat berdasarkan senioriti bukan insentif kepada guru yang bekerja keras dan pintar, katanya.
“Mesti ada insentif yang cukup bagi guru memperbaiki diri mereka yang akhirnya akan menguntungkan murid.”

Beliau juga menggesa diperkenal sistem sekolah satu sesi yang memenuhi keperluan pelajar pelbagai kaum dan latar belakang budaya. Ini supaya mereka yang mahu belajar bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Arab boleh berbuat demikian sambil berinteraksi antara satu sama lain di bawah satu bumbung.
Mengharungi perubahan
Bagi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page), sistem pendidikan perlu disesuaikan dengan perubahan alam pembelajaran.
“Kita perlu menggunakan peranti, Internet dan pengekodan, serta menjadikan kurikulum relevan dengan keperluan industri,’ kata Pengerusi Page, Noor Azimah Rahim kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun katanya, perubahan dalam dasar pendidikan – yang berlaku setiap kali menteri bertukar – adalah evolusi proses pembelajaran.
Satu daripada kritikan terhadap sistem pendidikan Malaysia ialah ia menggalakkan hafalan, katanya, yang menyebabkan pelajar hilang upaya untuk berfikir dan menyelesaikan masalah.
“(Tetapi) ini telah ditangani dengan memperkenalkan kemahiran berfikir aras tinggi. Ia sedang berjalan dan guru juga sedang menyesuai diri.”
Beliau juga setuju dengan pandangan bahawa sistem pendidikan di negara ini terlalu berasaskan peperiksaan.
“Itu sebabnya PT3 diperkenalkan untuk melibatkan lebih banyak penilaian projek. Kita percaya kementerian sedang menimbang memansuhkan peperiksaan untuk peringkat rendah Tahun 1 hingga 3.”
Mengenai guru yang terbeban kerja pentadbiran, Azimah berkata pada masa ini sudah ada guru data yang dilantik daripada kalangan guru yang ditugaskan waktu mengajar yang kurang.
“Ini langkah yang betul dan sekiranya perkara ini tidak diselesaikan, kita percaya akan ada cadangan lain bagi memastikan guru memberi tumpuan pada kerja mengajar dan fokus mereka ialah pelajar.”
Bahasa Inggeris
Seorang lagi ahli akademik dalam bidang pendidikan di universiti awam menyuarakan kebimbangan tentang pengajaran bahasa Inggeris di sekolah.
Beliau yang enggan dikenali berkata dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang dilaksanakan selama 40 tahun sejak 1970, bahasa Inggeris diajar hanya sebagai satu matapelajaran.
Sesetengah pelajar tidak ada keyakinan untuk berturut dalam bahasa Inggeris, apatah lagi menulis, katanya.
Guru bahasa Inggeris yang ada sekarang ialah hasil daripada 40 tahun pelaksanaan KBSR dan KBSM, katanya.
Tetapi itu bukanlah bermakna semua guru ini lemah kemahiran bahasa Inggeris mereka. Namun mereka adalah sebahagian daripada masalah yang ada kaitan dengan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah, termasuk masalah ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Jelas beliau pengajaran bahasa Inggeris di sekolah mengabaikan tatabahasa dan empat kemahiran iaitu membaca, menulis, mendengar dan bertutur. – 16 Oktober, 2018.
Komen