MAHKAMAH Rayuan Syariah Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Mahmud Abu Bekir Taib berhubung rayuan perintah bayaran mutaah RM30 juta kepada bekas isterinya Shahnaz Abdul Majid.
Mahmud, anak lelaki kepada Gabenor Sarawak Abdul Taib Mahmud, memfailkan rayuan terhadap keputusan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah pada 2016 yang memerintahkan beliau membayar mutaah sebanyak RM30 juta kepada Shahnaz.
Mahkamah memerintahkan bayaran itu dibuat secara tiga kali ansuran.
Shahnaz, yang juga kakak kepada penyanyi terkenal Sheila Majid, pada awalnya memohon bayaran mutaah RM100 juta.
Hakim Saarani Ismail mengetuai panel dua hakim termasuk Mohd Naim Mokhtar, memutuskan bahawa mutaah perlu dibayar tiga kali ansuran iaitu RM10 juta setiap kali pada 31 Oktober, 31 Januari, 2019 dan 30 April, 2019.
“Alhamdulillah. Saya bersyukur dengan keputusan ini,” kata Shahnaz ketika ditemui di luar mahkamah.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada peguam-peguam saya dan keluarga,” katanya.

Tuntutannya terhadap harta sepencarian akan didengar di Mahkamah Tinggi Syariah pada 29 Oktober, kata peguamnya Mohd Rafie Shafie.
Shanaz turut diwakili oleh peguam Akberdin Abdul Kader.
Saadiah Din dan Zainul Rijal Abu Bakar bertindak sebagai peguam Bekir.
Shahnaz dan Bekir berkahwin pada 1992 dan bercerai pada 11 Mei, 2011. Mereka mempunyai seorang anak lelaki berusia 24 tahun, Raden.
Shahnaz, pemegang MBA dalam kewangan menuntut penyelesaian perceraian bernilai RM400 juta termasuk harta sepencarian dan mutaah.
Beliau menuntut separuh aset milik Bekir termasuk ratusan hektar tanah di Sarawak, saham dalam 15 syarikat, beberapa rumah di luar negara dan tujuh kereta mewah.
Ketika perbicaraan pada 2014, Bekir memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bahawa beliau mendapati bekas isterinya itu bukan lagi dara pada malam pernikahan mereka pada 9 Januari, 1992.
Shahnaz enggan menyatakan sama ada beliau dara atau tidak ketika menikahi Bekir.
Bekir bertugas sebagai timbalan pengerusi kumpulan Cahya Mata Sarawak Bhd. – 16 Oktober, 2018.
Komen