PELARIAN Filipina yang memiliki dokumen Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13) di Sabah perlu dihantar pulang ke negara asal memandangkan perang saudara di Mindanao sudah berakhir, kata bekas Adun Sabah.
Bekas Adun Petagas James Ligunjang hari ini menggesa kerajaan negeri yang dipimpin Parti Warisan Sabah agar menumpukan usaha untuk menghantar pulang kumpulan pelarian itu daripada membuang masa mengeluarkan pas IMM13.
James berkata sepatutnya tiada lagi pendaftaran IMM13 walaupun untuk anak mereka memandangkan konflik di Mindanao sudah lama berakhir.
“Pas lawatan hanya boleh dikeluarkan kepada pelarian yang berpindah akibat perang yang masih berterusan di negara mereka di bawah pengawasan Agenis Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).
“Dalam kes di Sabah, sepatutnya tiada lagi pendaftaran kerana perang saudara (di Mindanao) telah lama tamat.
“Mereka sepatutnya dihantar pulang dengan penyelarasan bersama UNHCR,” katanya merujuk kepada insiden kumpulan pelarian itu menyerbu Jabatan Imigresen pada minggu lalu.
Pas IMM13 dikeluarkan oleh jabatan itu kepada pelarian Filipina yang memasuki Sabah antara tahun 1972 dan 1984.
Jabatan Imigresen hari ini menjelaskan kekalutan yang berlaku pada minggu lalu bukan disebabkan pendaftaran tetapi kerana pihaknya mahu mengenalpasti jumlah kanak-kanak bagi pemegang pas IMM13 di Sabah.
Berita penuh di sini.
Komen