ANAK bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, Yamani Hafez mengekalkan kerusi Parlimen Sipitang selepas Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan petisyen yang difailkan oleh Parti Warisan Sabah.
Keputusan itu menyaksikan wakil Umno itu menyertai dua lagi bekas wakil Barisan Nasional (BN) iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kundasang Joachim Gunsalam dan Adun Sook Ellron Angin untuk mengekalkan kerusi mereka berdasarkan keputusan mahkamah.
Hakim Mahkamah Tinggi di Sibu, Lee Heng Cheong turut memerintahkan setiap pempetisyen membayar kos RM20,000 kepada Yamani Hafez, Dr Juachim dan Ellron Angin, masing-masing.
Hakim juga memerintahkan ketiga-ketiga pempetisyen membayar kos masing-masing RM5,000 terhadap pegawai pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Peguam Angin, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas tiga pihak yang memfailkan petisyen gagal menghantar tiga salinan fizikal kepada Petisyen Pilihan Raya di Pejabat Pendaftaran Mahkamah.
“Pada asasnya, mahkamah berpendapat bahawa Petisyen Pilihan Raya tidak mempunyai fakta yang mencukupi untuk meneruskan petisyen pada perbicaraan,” katanya.
Peguam J. Marimuthu, yang mewakili Yamani dan Dr Joachim berkata bagi Petisyen Pilihan Raya Sipitang, petisyen yang dikemukakan gagal mematuhi Seksyen 38 (1) (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 seperti yang dinyatakan oleh hakim.
Ia bermaksud petisyen itu tidak dibuat dalam tempoh yang ditetapkan.
Pihak yang mengemukakan petisyen, Noor Hayaty Mustapha (Sipitang), Martin Tomy @ Tommy (Sook) dan Siriman @ Mohd Fazid Basir (Kundasang) meminta pengisytiharan mahkamah bahawa keputusan pilihan raya bagi ketiga-tiga kawasan itu sebagai tidak sah. – 15 Oktober, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen