KONTIJEN polis di seluruh negara menerima arahan dari Bukit Aman agar tidak memberikan maklumat tahanan lokap kepada mana-mana pegawai tanpa kebenaran ketua balai susulan berlakunya kes penipuan.
Arahan itu dikeluarkan selepas lebih 10 keluarga ditipu oleh pihak yang menyamar polis dengan janji mereka boleh membebaskan ahli keluarga dengan bayaran antara RM5,000 dan RM10,000.
Bermula dari Mac hingga Oktober, sebanyak 11 kes sedemikian dilaporkan di Perak, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan.
Sumber polis memberitahu The Malaysian Insight bahawa polis Perak dan Selangor kini bekerjsama untuk memburu kumpulan tersebut susulan penahanan seorang lelaki berusia 40 tahun dan rakan wanitanya berusia 21 tahun di utara negara baru-baru ini.
“Terdapat sejumlah kes itu di Selangor dan Perak. Kami bekerjasama untuk mengenal pasti beberapa suspek yang terlibat dalam kes penipuan ini,” kata sumber itu.
Menurut laporan, suspek akan menghubungi balai polis dan meminta panggilan itu disambungkan ke bahagian lokap seolah-olah mereka mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Anggota yang bertugas di bahagian lokap akan menjawab panggilan itu dan suspek kemudiannya memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis.
Polis palsu itu kemudiannya bertanyakan maklumat tentang jumlah tahanan, nama mereka, bangsa dan siasatan yang dijalankan ke atas tahanan.
“Selama ini, pegawai lokap terpedaya kononnya mereka sedang bercakap dengan pegawai kanan polis. Tanpa banyak tanya, mereka akan memberikan maklumat tersebut,” kata sumber.
“Polis palsu itu juga akan meminta nombor telefon ahli keluarga setiap mangsa dan pegawai penjara akan memberinya tanpa banyak soal.”
Sumber berkata terdapat kes melibatkan pegawai lokap berasa ragu dan mempersoalkan pemanggil. Dalam kes itu, polis palsu akan memutuskan panggilan dengan serta-merta.
Siasatan polis turut mendapati suspek menghubungi beberapa keluarga dan memperdaya mereka untuk membayar jaminan polis antara RM5,000 dan RM10,000 bagi menjamin pembebasan ahli keluarga mereka.
Selain itu, siasatan mendapat wang yang diperolehi ahli keluarga tahanan akan dimasukkan ke dalam beberapa akaun.
Pemilik akaun itu, kebanyakannya penagih dadah, dibayar antara RM300 dan RM400 untuk setiap transaksi.
Polis membongkar sindiket ini selepas beberapa keluarga yang ditipu untuk membuat pembayaran, tampil ke balai polis bagi menuntut pembebasan ahli keluarga mereka.
Bagaimanapun, satu lagi sumber memaklumkan terdapat kemungkinan ada kerjasama antara pegawai lokap dan orang luar.
Sumber berkata pegawai lokap yang terlibat dalam kes itu perlu disiasat kerana mereka sepatutnya tidak mudah ditipu oleh sindiket tersebut.
Katanya, pengawai penyiasat dalam setiap kes mempunyai kuasa untuk memberi jaminan polis sebaik saja siasatan selesai tetapi sebelum itu, terdapat prosedur yang perlu dipatuhi.
Prosedur itu termasuk memaklumkan pegawai atasan bagi mendapatkan kelulusan mereka. – 16 Oktober, 2018.
Komen