Van polis terlibat kemalangan, suspek pengganas Perancis maut


Alfian Z.M. Tahir

SEORANG suspek pengganas Perancis meninggal dunia semalam, tiga hari selepas terlibat dalam kemalangan ketika sedang dipindahkan oleh polis dari Perlis ke Kuala Lumpur.

Tiga lagi suspek pengganas, juga dari Perancis, turut berada dalam kenderaan itu bersama beberapa pegawai polis.

Sumber polis dari Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas mengesahkan kejadian itu dan berkata ia berlaku selepas van yang membawa kesemua suspek mengalami pecah tayar dan hilang kawalan.

“Kejadian itu berlaku pada Khamis lalu dan hujan lebat pada hari tersebut. Polis memindahkan suspek ke Kuala Lumpur dari Perlis.

“Satu daripada tayar van tiba-tiba pecah dan hilang kawalan. Dua anggota polis cedera dalam kejadian itu dan seorang suspek pengganas mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

“Suspek dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan tetapi meninggal dunia semalam,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata dua anggota polis yang cedera dirawat di Unit Zon Merah di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang.

Difahamkan tiga lagi suspek dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Empat suspek itu antara lapan individu yang ditahan E8 pada 24 September lalu di Perlis kerana cuba menyebarkan ideologi Salafi Jihadi di sebuah pusat tahfiz.

Sementara itu, sumber mendedahkan empat lagi suspek pengganas masih berada dalam tahanan polis dan belum dihantar pulang.
 
“Mereka masih dalam tahanan polis. Siasatan masih lagi diteruskan,” kata sumber itu. – 15 Oktober, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen