Proses hukuman mati Lukman kes ubat ganja belum selesai, kata Liew


Zaim Ibrahim

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos lalu menjatuhkan hukuman mati ke atas Lukman selepas disabitkan kesalahan memiliki ganja, yang beliau gunakan bagi tujuan perubatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018.

HUKUMAN mati ke atas Muhammad Lukman Mohamad, yang didapati bersalah menggunakan ganja bagi tujuan perubatan, belum muktamad kerana proses perundangannya masih terbuka untuk rayuan, kata VK Liew.

Menteri undang-undang itu berkata penangguhan hukuman mati ke atas Lukman adalah tidak berasas.

“Proses (perbicaraan) belum lagi habis. Untuk katakan (hukuman mati) ke atas Lukman ditangguhkan adalah tidak berasas.

“Proses rayuan belum habis, jika didapati tidak bersalah dia akan dibebaskan. Sekiranya didapati bersalah, ia akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini berkata Kabinet turut bersetuju menggantung pelaksanaan hukuman mati ke atas Muhammad Lukman.

Liew yang ditanya mengenai kenyataan Syed Saddiq bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen.

Sebaliknya beliau hanya menjelaskan, penangguhan pelaksanaan hukuman mati hanya terpakai bagi kes yang telah selesai prosedur mengikut undang-undang.

September lalu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata Kabinet ada membincangkan isu hukuman mati ke atas Lukman, tetapi tidak membuat sebarang keputusan mengenainya.

VK Liew mengulas tentang pemansuhan hukuman mati oleh kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018.

Status hukuman mati ke atas Lukman jadi perhatian selepas Liew minggu lalu mengumumkan kerajaan akan memansuhkan hukuman mati mandatori, yang akan digantikan dengan hukuman penjara sekurang-kurangnya 30 tahun.

Liew pada sidang media pagi tadi memberitahu kerajaan akan memansuhkan hukuman mati untuk semua jenis kesalahan yang mengenakan hukuman mandatori itu.

Katanya, kerajaan menghormati perasaan keluarga mangsa jenayah yang pesalahnya sudah dijatuhkan hukuman mati namun menjelaskan pemansuhan hukuman itu tidak boleh dibuat secara separuh-separuh.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos lalu menjatuhkan hukuman mati ke atas Lukman selepas disabitkan kesalahan memiliki ganja, yang beliau gunakan bagi tujuan perubatan.

Lukman, 29, ditahan bersama isterinya yang sedang hamil dalam satu serbuan di rumahnya pada Disember 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4kg bahan mengandungi tetrahydrocan nabinol (THC).

Hukuman mati ke atas Lukman kemudian tular di media sosial kerana beliau dilaporkan sudah memberikan rawatan alternatif itu kepada tidak kurang 800 pesakit.

Dalam pembelaannya, peguambela bagi pihak Lukman turut mengemukakan saksi-saksi yang pernah mendapatkan khidmat rawatannya.

Nasib Lukman sebelum ini turut mendapat perhatian ahli parlimen dan menteri kabinet yang mahu kerajaan menerima rawatan alternatif menggunakan ganja.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dilapor berkata akan menulis rayuan kepada Peguam Negara Tommy Thomas untuk mendapatkan pengampunan ke atas Lukman.

Kementerian Kesihatan bagaimanapun beberapa kali mempertahankan pendirian bahawa tiada bukti penggunaan ganja atau minyak ganja boleh merawat penyakit. – 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen