Apakah kesan iktiraf konvensyen PBB terhadap Perlembagaan, soal KJ


Looi Sue-Chern

JIKA Malaysia bercadang untuk menggunapakai semua konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkait dengan perlindungan hak asasi manusia, apa yang bakal berlaku kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, soal Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata ada sebab yang kukuh kenapa Wisma Putra tidak pernah mengiktiraf beberapa konvensyen pertubuhan dunia itu sebelum ini.

Sebagai contoh katanya, Konvensyen Antarabangsa berhubung Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum akan bertentangan dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi keistimewaan orang Melayu, penduduk Sabah dan Sarawak, serta kepentingan masyarakat lain.

Artikel 2 konvensyen antarabangsa itu menyatakan semua pihak perlu mengamalkan dasar menghapuskan diskriminasi perkauman dalam semua bentuk termasuk mengkaji semula dasar untuk dipinda atau membatalkan undang-undang yang mencetuskan diskriminasi perkauman.

“Apakah kesan menuruti konvensyen antarabangsa ini terhadap undang-undang kita,” soal Khairy kepada Dewan Rakyat hari ini.

“Tiada masalah dengan konvensyen (PBB) yang lain, kecuali konvensyen ini. Saya tidak mengatakan sama ada saya bersetuju atau tidak, tetapi adakah kita sedar tentang implikasinya?”

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Persidangan Agung PBB tahun lepas berkata kerajaan baharu Malaysia berikrar untuk meratifikasi semua konvensyen PBB yang melibatkan perlindungan hak asasi manusia.

Mengulas tentang ucapan Dr Mahathir itu, Khairy berkata hanya bahagian meratifikasi konvensyen PBB merupakan perkara baharu manakala baki ucapan lain menggunakan dasar luar kerajaan lama.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Persidangan Agung PBB berkata Malaysia akan kukuh menjunjung prinsip kemanusiaan diamalkan PBB dalam hubungan antarabangsanya. – Gambar fail AFP, 15 Oktober, 2018.

Katanya Majlis Keselamatan PBB perlu melaksanakan pembaharuan, seperti yang dibangkitkan bertahun-tahun lalu oleh pemimpin Malaysia di PBB.

“Perdana menteri mengulangi perkara yang sama kali ini,” katanya.

Khairy turut mempersoalkan komitmen Malaysia untuk memastikan semua pelan pembaharuan majlis keselamatan yang disebut-sebut selama ini, boleh dilaksanakan.

Katanya isu global yang dibangkitkan dalam ucapan dasar bukan perkara baharu, seperti krisis Rohingya.

Apabila Malaysia mempengerusikan mesyuarat Asean pada 2015, beliau berkata Putrajaya mengambil pendirian membantah layanan kerajaan Myanmar terhadap penduduk Rohingya di Rakhine dan menganjurkan beberapa misi kemanusiaan ke Cox Bazaar yang menempatkan pelarian etnik minoriti itu.

“Tetapi apabila anda berkata kita mahu mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap Myanmar, tidak lagi menyokong kaunselor negara itu, Aung San Suu Kyi, jadi apa tindakan yang kita ambil pada masa ini?”

Khairy berkata amalan ‘tidak campur tangan’ tidak boleh diteruskan dalam menangani isu Rohingya dan sebagai contoh, Malaysia yang mengekalkan dasar neutral, bertindak ketika perang Bosnia pada 1990-an.

Khairy Jamaluddin mengambil contoh krisis di Myanmar yang menyaksikan penindasan etnik Rohingya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018.

Ribuan rakyat Islam Bosnia menjadi mangsa penghapusan etnik pada peperangan itu. Malaysia menghantar bantuan kewangan dan senjata kepada umat Islam di sana.

“Ini (Rohingya) merupakan Bosnia pada generasi kita. Ia berlaku berdekatan kita. Ini merupakan pembunuhan besar-besaran di Asean, di negara jiran kita.

“Kita tidak boleh hanya bersikap retorik atau sekadar menghantar misi kemanusiaan seperti kerajaan sebelum ini.

“Saya telah mengemukakan kepada barisan Kabinet sebelum ini bahawa kita perlu mengambil tindakan tegas terhadap Myanmar dengan menggantung keanggotaannya dalam Asean,” kata bekas menteri belia dan sukan itu.

“Ini baru dikatakan sebagai tindakan tegas. Laksanakan pembaharuan dalam dasar luar kita dan bukannya mengulangi perkara yang sama.”  – 15 Oktober, 2018.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen