KEPUTUSAN bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria menamakan Md Raus Sharif sebagai penggantinya harus diteliti dengan ketat kerana ia mewujudkan krisis kehakiman paling besar dalam tempoh 30 tahun, kata bekas peguam negara Abu Talib Othman.
Abu Talib berpendapat Arifin perlu menjelaskan kenapa beliau menyokong Raus kerana ketua hakim negara itu sudah mencapai umur bersara wajib 66 tahun dan enam bulan.
“Beliau perlu tampil dan memberitahu rakyat kerana ini sudah jadi kontroversi, dan ia satu perkara yang ada kepentingan awam. Beliau mesti tampil dan jelaskan.
“Apakah beliau berpendapat semua hakim lain yang terbukti sangat layak dan bebas dalam menjalankan tanggungjawab kehakiman tidak layak untuk jadi ketua hakim?” katanya kepada The Malaysian Insight.
Abu Talib turut mempersoalkan cara Ariffin menangguhkan pengumumannya sehingga sebelum beliau bersara secara rasmi.
Sehari sebelum mencapai umur persaraan wajib 66 tahun dan enam bulan pada 31 Mac, Ariffin membuat cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Raus dinamakan sebagai penggantinya.
Raus mengangkat sumpah sebagai ketua hakim negara Jumaat lalu biarpun sudah melepasi umur bersara wajib. Badan peguam, termasuk Badan Peguam Malaysia, menyifatkannya sebagai tidak berperlembagaan dan berikrar akan mencabarnya di mahkamah.
Abu Talib, 79, peguam negara paling lama berkhidmat antara 1980 hingga 1993 berkata, biarpun pada pandangan peribadinya lanjutan lantikan Raus “bertentangan dengan semangat dan hasrat” Perlembagaan Persekutuan, hanya mahkamah yang boleh menentukan sama ada ia berperlembagaan atau tidak.
Ditanya apakah Raus sewajarnya menolak lantikan itu, Abu Talib berpendapat apa yang berlaku bukan salah Raus.
“Untuk berlaku adil kepada Raus, namanya dicadangkan oleh ketua hakim kepada Yang di-Pertuan Agong. Ini bukan cadangan beliau. Ini cadangan ketua hakim yang akan bersara.
“Kita tidak boleh salahkan Raus kerana cadangan untuk melantiknya dibuat oleh ketua hakim yang akan bersara.
“Lagi pula, beliau sudah menjawab pertanyaan itu secara terbuka. Baginya, ia berperlembagaan, melainkan sekiranya dicabar,” katanya.
Bekas pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) itu menyokong tindakan undang-undang Badan Peguam Malaysia dan menambah, keputusan mahkamah dalam hal ini mempengaruhi tahap keyakinan umum kepada badan kehakiman.
Sebelum dilantik sebagai ketua hakim, tempoh perkhidmatan Raus sudah dilanjutkan selama enam bulan sejak Februari lalu.
Ariffin dilantik sebagai ketua hakim negara menggantikan Zaki Azmi pada 12 September, 2011.
Berikut petikan wawancara berkenaan:
TMI: Apa komen kesahan lanjutan pelantikan Ketua Hakim Negara Raus Sharif minggu lalu?
Abu Talib: Ini isu perundangan. Peguam mengatakan mereka akan mencabarnya di mahkamah. Jadi, persoalan kesahan adalah isu perundangan yang perlu diputuskan oleh mahkamah. Tetapi pada pandangan saya, dalam kes Raus, pemakaian peruntukan undang-undang (berhubung) pelantikannya bertentangan dengan semangat dan hasrat Perlembagaan.
TMI: Anda jangka lanjutan lantikan itu disalah guna?
Abu Talib: Anda tidak boleh menghukum terlebih dulu begitu. Tidak adil untuk mengatakan “ia akan terus disalah guna”.
Isunya, adakah ini satu salah guna (kuasa)? Adakah kes ini satu penyalahgunaan (kuasa)? Tidak begitu jelas sama ada ia sah daripada segi perlembagaan atau sebaliknya, ada beberapa pandangan.
Kes Badan Peguam terhadap lanjutan lantikan itu agak mencabar. Untuk melantik hakim pencen (bagi mendengar kes itu) mungkin bermasalah kerana proses perundangan yang terlibat. Apakah ketua hakim yang akan menentukan siapa yang akan menghakimi kes perlembagaan itu?
Pelantikannya dicabar. Saya tidak fikir beliau patut memilih hakim (yang akan mendengar kes itu). Pemilihan hakim untuk mendengar kes ditentukan oleh ketua hakim dan sekiranya beliau terlibat, tanggungjawab itu diserahkan kepada hakim kanan yang seterusnya. Tidak adil untuk mengatakan beliau akan menyalahgunakan kuasa.
TMI: Pandangan tentang kes yang akan difailkan oleh Badan Peguam Malaysia?
Abu Talib: Mahkamah akan dapat mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak. Saya percaya dan yakin mereka akan memberikan keputusan yang konsisten dengan pemahaman Perlembagaan, terutamanya tentang pindaan tersebut (yang membenarkan lantikan hakim tambahan).
Pada pandangan peribadi saya, pelantikannya (Raus) nampaknya bertentangan dengan hasrat dan semangat pindaan itu.
Logiknya, Ariffin tentu bertanya kepada Raus sama ada beliau mahu menerimanya atau tidak, sebelum mencadangkan namanya. Bagaimana beliau hendak tolak setelah Yang di-Pertuan Agong melantik beliau?
Beliau tentu diyakinkan pelantikan itu sah daripada segi perlembagaan, jika tidak, beliau tidak akan menerimanya, dan itu beliau sebut dalam satu kenyataannya. Pada pandangan beliau, pelantikan itu sah di sisi perlembagaan. Melainkan ia dicabar, pelantikan itu sah.
Pada hemat saya, dalam keadaan kes ini, ia bertentangan dengan hasrat dan semangat pindaan. Untuk seorang hakim yang sedang berkhidmat dilantik sebagai hakim tambahan selepas bersara, itu bukannya hasrat atau semangat pindaan tersebut.
Dari sudut pandang Raus, tidak ada masalah. Beliau dilantik, beliau angkat sumpah. Jadi bagi pihak kerajaan, beliau patuh. Pelantikannya dibuat dengan wajar dan mengikut perlembagaan. Melainkan ia dicabar, pelantikan itu kekal. Jadi Badan Peguam Malaysia kata ia akan cabar. Kita tunggu apa keputusannya.
TMI: Apa persepsi masyarakat tentang badan kehakiman, terutama selepas lanjutan lantikan ini?
Abu Talib: Kes Badan Peguam ini sangat mustahak kepada umum. Ini isu perlembagaan, biar ia ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.
Apa yang penting ia mesti difailkan. Tidak ada gunanya kita bercakap sehingga tindakan undang-undang diambil. Harapnya Majlis Peguam benar-benar akan ambil tindakan mencabar kesahan pelantikan itu. Saya fikir ia ada kepentingan awam dan akan mengukuhkan integriti serta keyakinan umum kepada badan kehakiman sekiranya pelantikan (Raus) diputuskan oleh mahkamah dengan wajar dan adil.
Keputusannya akan mempengaruhi keyakinan kepada kehakiman. Apa yang orang akan fikir sekiranya ketua hakim tidak dilantik mengikut perlembagaan? Itu sebabnya saya kata baguslah Badan Peguam ambil keputusan akan cabar pelantikan ini.
Kita harap ia dibuat cepat kerana (Raus) sudah jadi ketua hakim. Beliau akan mendengar kes. Beliau akan menjalankan tugas pentadbiran ketua hakim, tidak lama lagi. – 11 Ogos, 2017.
Komen