Anwar mahu kerajaan asing pulangkan aset 1MDB yang dirampas


Chan Kok Leong

Mereka perlu menghormati prinsi-prinsip pemerintahan yang baik dan apa saja yang telah disalah guna harus dikembalikan kepada kerajaan yang sah, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Oktober, 2018.

ASET berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dirampas perlu dipulangkan semula kepada Malaysia, kata Anwar Ibrahim.

“Kita faham sesetengahnya (kerajaan) tak akan bekerjasama tetapi apabila ianya jelas rasuah atau urusniaga meragukan, hanya kerajaan diharapkan akan berkerjasama,” kata Anwar pada sidang akhbar pertamanya sebagai ahli Parlimen hari ini.

“Saya tidak mahu berfikiran begitu kerana kita masih cuba mendapatkan (menghubungi) semua kerajaan yang berkenaan.

“Tetapi mereka sekurang-kurangnya menghormati prinsi-prinsip pemerintahan yang baik dan apa saja yang telah disalah guna harus dikembalikan kepada kerajaan yang sah,” jelas ahli Parlimen Port Dickson itu.

Beberapa negara termasuk Singapura Switzerland dan Amerika Syarikat (AS) telah merampas aset yang dikaitkan dengan 1MDB.

Kerajaan Singapura telahpun mengembalikan semula sekitar mata wang bernilai S$15.3 juta (RM46 juta) kepada akaun pemulihan khas 1MDB pada 10 September, dan kerajaan AS juga telah berjanji untuk memulangkan aset yang dirampas. Manakala Switzerland pula membuat keputusan tidak berbuat demikian.

Dua bulan sebelum pilihan raya umum 9 Mei, Parlimen Switzerland mengundi untuk tidak mengembalikan CHF104 juta (RM430 juta) kepada Malaysia.

Menurut Anwar, beliau memahami jika sesetengah negara memilih untuk enggan bekerjasama sekiranya tindakan tersebut semata-mata kerana politik atau satu bentuk gangguan politik.

“Tetapi dalam kes ini (1MDB), kita akan kemuka bukti dan mungkin dapatkan dokumen. Dan kerajaan-kerajaan ini harus hormati itu,” kata beliau. – 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen