KERAJAAN akan melakukan rombakan kepada Jawatankuasa Penilaian Lynas, kat Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.
“Makin banyak saya fikir, semakin saya percaya yang Lynas akan menggunakan saya sebagai senjata mereka. Jadi demi negara saya mahu berundur (daripada jawatankuasa),” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.
Fuziah berkata beliau tidak meletak jawatan daripada jawatankuasa itu tetapi meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, Sains dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin untuk merombak jawatankuasa tersebut.
“Saya rasa paling baik untuk kementeriannya merombak keseluruhan jawatankuasa berbanding hanya saya berundur sendiri kerana Lynas kata saya menentangnya walaupun saya menerima sesiapa sahaja dalam jawatankuasa tersebut.
“Tapi memandangkan Lynas guna saya sebagai alasan mengkritik jawatankuasa, baik kita rombak seluruh jawatankuasa.”
Fuziah bagaimanapun menambah yang beliau akan terus berjuang menentang kilang nadir bumi Lynas di kawasannya itu.
“Saya akan berjuang dari luar dan akan meminta Yeo membuat pendengaran terbuka supaya saya boleh beri komen dari luar. Jika pendengaran terbuka saya boleh bercakap dan buat kenyataan selepas itu.
“Itu cadangan saya dan saya rasa dia akan terima dan dia akan mengumumkan jawatankuasa baharu nanti,” kata Fuziah di Parlimen.
Sementara itu, Yeo enggan mengesahkan atau menafikan isu tersebut dan berkata kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Lynas Corporation menggesa semakan semula operasinya dilakukan secara adil saksama selepas diumumkan Fuziah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pada 2 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Amanda Lacaze berkata syarikat tersebut tidak mendapat “permulaan yang adil” dan menggesa semakan operasi syarikatnya dilakukan dengan saksama.
Katanya, Lynas sentiasa mengutamakan keselamatan kakitangannya dan pekerja mereka menjunjung dasar “sifar cedera” dalam etika kerja.
“Kami terkesan dengan beberapa komen dalam akhbar. Kami tak dapat permulaan yang baik. Ia nampak tak betul.”
Lacaze juga menafikan kilang itu mengeluarkan sisa nuklear.
Fuziah yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah pembantah lantang kilang tersebut dan sudah bertahun berkempen menentangnya atas kebimbangan kesihatan.
Lynas mula beroperasi di Gebeng, Kuantan sejak 2012.
Ada dakwaan yang operasi kilang menimbulkan ancaman kesihatan kerana didakwa mengeluarkan sisa toksik dan radioaktif merbahaya. – 15 Oktober, 2018.
Komen