Polis boleh letak bukti dalam kes Pastor Koh, Suhakam diberitahu


Noel Achariam

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Nik Saleh mengetuai panel siasatan awam Suhakam berhubung kehilangan Pastor Koh.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018

POLIS boleh meletakkan bukti di rumah suspek yang mati di Pengkalan Hulu, Perak, siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh didengar hari ini. 

Peguam keluarga Koh Jerald Gomez berkata berdasarkan keterangan bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar sebelum ini, polis menemui gambar Koh, rumahnya, kenderaan dan nombor pendaftaran kenderaan Koh di rumah suspek.

“Ketika kami menyoal Khalid, beliau berkata bukan sahaja gambar yang ditemui tetapi juga nombor pendaftaran fizikal kenderaan Koh (ST5515).

“Namun dalam siasatan hari ini, kami dengar terdapat tiga nombor pendaftaran dalam senarai pencarian polis,” katanya.

Pada 17 Jun lalu, suspek pengedar dadah dan pemerdagangan orang ditembak mati dekat Baling, Kedah. Polis turut menahan empat suspek terlibat. 

Siasatan lanjut membawa polis ke rumah suspek yang ditembak, yang mana mereka menemui gambar Koh, kenderaan serta rumahnya.

Timbalan pengarah JSJ Huzir Mohamed yanag meneruskan keterangannya hari ini berkata mereka tidak tahu bagaimana barangan itu boleh berada di rumah suspek. 

Beliau juga berkata, empat suspek yang ditangkap tiada kaitan dengan Koh. 

Gomez bertanya Huzir sekiranya polis meletakkan barangan itu. 

Bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar turut dipanggil Suhakam dalam siasatan awam berhubung kehilangan Pastor Koh tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018

Huzir menafikannya dan berkata beliau percaya dengan integriti pegawainya ketika melakukan pencarian. Tambahnya isteri suspek yang mati turut hadir ketika pencarian. 

Pesuruhjaya Mah Weng Kwai kemudian berkata tuduhan Gomez adalah serius dan bertanya Huzir sekiranya beliau tidak setuju.

Huzir berkata beliau tidak setuju bukti berkenaan diletakkan, dan menambah terdapat senarai pencarian barangan berkenaan.

Gomez bertanya Huzir sekiranya nombor pendaftaran kenderaan Koh ST5515 juga ada dalam senarai itu kerana Khalid mengesahkan terdapat gambar dan nombor pendaftaran fizikal dalam keterangannya tahun lalu. 

Huzir menjawab nombor pendaftaran itu ditemui di Baling, Kedah tetapi ia bukan milik kenderaan Koh. 

Pemerhati polis dari sekretariat KPN, R Munusamy bertanya Huzir sama ada beliau berdasarkan pengalamannya, tahu kesemua butiran ketika memberi kenyataan media. 

Huzir menjawab tidak, tetapi berkata kenyataan media biasanya disediakan pegawainya.  

Munusamy kemudian bertanya Huzir sekiranya beliau setuju ketika Khalid memberi kenyataan media, beliau tidak tahu semua fakta kes. 

Huzir bersetuju dan menyatakan Khalid tidak ada semua fakta. 

Pastor Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh 15 lelaki menaiki tiga kenderaan SUV berwarna hitam. 

Penculikan itu dirakam kamera litar tertutup dan disifatkan sebagai operasi terancang. 

Siasatan Suhakam adalah bagi menentukan sama ada kehilangan Koh, pengasas Perlis Hope Amri Che Mat, dan juga pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu, adalah kes kehilangan paksa yang dibuat oleh negeri.  – 15 Oktober, 2018
 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen