Bincang isu rakyat bukan retorik di Parlimen, kata Anwar


Yasmin Ramlan

Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim mahukan wakil rakyat memperjuangkan isu rakyat seperti dasar ekonomi dan kemiskinan dan bukannya retorik semata-mata di Parlimen. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Oktober, 2018.

AHLI Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim mengingatkan wakil rakyat supaya tidak membahaskan isu yang tiada kepentingan kepada rakyat dan hanya bersifat retorik di Dewan Rakyat.

Anwar menjelaskan yang wakil rakyat sewajarnya membincangkan isu berkaitan dengan rakyat seperti dasar ekonomi, bajet dan usaha membasmi kemiskinan.

“Saya selalu percaya bahawa pemimpin politik atau golongan elit perlu menyuarakan pandangan golongan majoriti rakyat.

“Saya selalu kadang-kadang berasa sinikal dengan perbincangan atau perbahasan yang retorik daripada golongan elit yang tidak ada kena-mengena dengan masalah sebenar yang dihadapi rakyat.

“Dan saya rasa itu sebahagian daripada tugas saya untuk mengingatkan golongan elit politik bahawa kejayaan sesebuah kerajaan itu, bajet dan polisi ekonomi perlu dikongsi dengan rakyat biasa - kira perlu selesaikan masalah kemiskinan,” katanya pada sidang medianya yang pertama selepas angkat sumpah di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas berhubung isu yang akan diperjuangkannya sebagai ahli Parlimen.

Anwar, bakal presiden PKR itu juga menambah yang wakil rakyat juga tidak seharusnya hanya bercakap soal pertumbuhan ekonomi tanpa menyentuh soal jurang ekonomi dihadapi rakyat.

Sebelum ini, Anwar turut berkata yang tumpuannya di Parlimen adalah menerajui proses perubahan institusi penting negara itu dengan kerjasama veteran DAP Lim Kit Siang untuk memenuhi sebahagian janji manifesto Pakatan Harapan.

Anwar hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di hadapan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof selepas menang pilihan raya kecil Sabtu lalu. – 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen