MAYAT CEO Cradle Fund Nazrin Hassan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara hari ini selepas proses bedah siasat kedua dijalankan oleh pakar patologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Mayat berkenaan dibawa menggunakan kereta jenazah tiba kira-kira jam 11.30 pagi diiringi beberapa anggota polis trafik serta ahli keluarga terdekat.
Bagaimanapun ahli keluarga Nazrin yang hadir enggan memberi komen.
Penggalian semula dijalankan minggu lalu selepas abang Nazrin membuat laporan polis berhubung dakwaan bedah siasat pertama yang dijalankan Hospital Kuala Lumpur adalah cacat.
Adik beradik Nazrin menggesa bedah siasat kedua dilakukan oleh pakar patologi bebas bagi mengenal pasti punca sebenar kematian Nazrin selepas polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh.
Bagaimanapun penggalian semula itu dicabar oleh balu Nazrin, Samirah Muzaffar namun ia diketepikan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Nazrin ditemui mati di bilik tidur di rumahnya di Mutiara Damansara selepas kediaman dua tingkat itu terbakar pada 14 Jun, sehari sebelum Hari Raya.
Keluarganya mendakwa telefon bimbitnya meletup, menyebabkan kebakaran. Cradle Fund turut mengeluarkan kenyataan, menyatakan CEOnya itu meninggal dunia akibat kecederaan berpunca daripada letupan telefon bimbit yang dicas di sebelah katil.
Abang Nazrin, Dr Malek Hassan, yang menyaksikan mayat Nazri selepas bedah siasat pertama berkata, beliau menyedari terdapat kesan kecederaan pada bahagian kiri kepalanya yang terlalu dalam untuk disebabkan objek tumpul seperti telefon bimbit.
Dengan pemerhatian itu, dan polis klasifikasikan kes itu sebagai bunuh, menyebabkan Dr Malek membuat laporan polis dua minggu lalu menggesa phak berkuasa menggali semula mayat untuk dibedah siasat.
Dalam proses siasatan setakat ini, polis menahan Samirah yang merupakan eksekutif kanan di Malaysian Intellectual Property Corporation, bekas suaminya, dua anak lelaki remajanya, adik ipar Nazrin dan suaminya untuk siasatan, kesemuanya ahli keluarga di sebelah balunya.
Kesemua mereka dibebaskan dengan ikat jamin. – 15 Oktober, 2018

Komen